Agensi

Uttar Pradesh: Seorang gadis direjam hingga mati dan mukanya ‘dihancurkan sehingga sukar untuk dicam’ oleh bapa dan abangnya selepas dia ditangkap berpacaran dengan seorang remaja lelaki kampung lain.

Mayat Pratibha Khan, 19, ditemui rakannya di ladang berhampiran rumahnya dalam keadaan berlumuran darah di Uttar Pradesh, utara India.

Penyiasat berkata, dia diheret ke ladang itu oleh bapanya, Jagpal, 65, dan abangna Pradeep, 36, yang marah selepas mengetahui dia bercinta dengan lelaki dari kampung jiran.

Gadis itu dipercayai dipukul dengan bata sebelum dicekik hingga mati. Mukanya dipukul begitu teruk oleh bapa dan abangnya bagi mengelak dia dicam.

Jurucakap polis berkata, laporan bedah siasat menunjukkan Pratibha mati akibat dicekik.

Bagaimanapun, dia juga dihentak dengan bata dan direjam dengan batu.

“Pemeriksaan terhadap rekod telefon bimbitnya menunjukkan ahli keluarganya terbabit dalam pembunuhannya. Mulanya, Pradeep mendakwa Pratibha dibunuh kekasihnya.

“Bagaimanapun, kami dapat mengesan kenyataan yang diberikan bercanggah apabila kami menyoal kedua-duanya secara berasingan.

“Mereka akhirnya mengaku membunuh Pratibha kerana dia bercinta dengan penduduk kampung sebelah,” kata jurucakap polis itu.

Seorang lagi abang mangsa, Prabhat, 33, berkata: “Saya tidak kesal atau terkejut atas kematian adik saya. Kalau apa yang dikata orang lain benar, maka saya tidak terkejut abang dan bapa saya membunuhnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 6:50 AM