FOTO Khairul Hamizy Ramlee
FOTO Khairul Hamizy Ramlee
Oleh Khairul Hamizy Ramlee


Marang: Seorang pembantu kedai makan lelaki maut apabila Honda EX5 ditunggangnya bertembung dengan Honda EX5 dinaiki dua lelaki dari arah bertentangan di Kampung Kelulut, di sini, 2 pagi tadi.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa, Mohd Yusof Embong, 24, dipercayai melawan arus di bahu Jalan Kuala Terengganu-Kuantan sebelum menyeberangi jalan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di kampung berkenaan.

Malangnya, tindakan itu mengundang tragedi apabila sebuah motosikal dinaiki dua lelaki berusia 20-an gagal mengelak dan bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua pemuda terbabit parah di kepala dan badan serta dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Risikan Satiman mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 4:36 PM