PELAJAR tingkatan enam atas Maktab Sultan Abu Bakar, mengenakan pakaian kasual pada hari pertama persekolahan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PELAJAR tingkatan enam atas Maktab Sultan Abu Bakar, mengenakan pakaian kasual pada hari pertama persekolahan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Pelajar tingkatan enam Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) di sini, seronok memulakan hari pertama persekolahan hari ini dengan memakai pakaian kasual dan bukan lagi berbaju sekolah.

Walaupun sudah diberi kelonggaran berpakaian kasual sejak tahun lalu, bagaimanapun perasaan memulakan persekolahan pada hari ini berbeza kerana semakin hampir untuk menjejakkan kaki ke peringkat universiti.

Seorang pelajar Tingkatan Enam Atas, Noriza Fazira Ahmad Tarmizi, 19, berkata, perasaan menuntut ilmu dengan berpakaian kasual memberi semangat yang lebih kepadanya kerana merasakan seperti berada di alam kampus walaupun masih dalam persekitaran sekolah.

"Saya lebih bersemangat dan terasa seperti berada di universiti, sekali gus mengurangkan rasa kekok apabila sudah melangkahkan kaki ke alam kampus pada tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengetua MSAB, Samsudin Md Ariff berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah akan pelaksanaan itu, namun memberi kelonggaran kepada pelajar sekolah terbabit untuk memilih pemakaian baju sekolah atau kasual.

"Kami tidak memaksa dan pelajar boleh memakai mana-mana pakaian yang memberi keselesaan kepada mereka asalkan semua garis panduan yang diberi dipatuhi mereka. Ini kerana ada pelajar yang mahu memakai pakaian sekolah bagi menikmati kadar tambang bas lebih murah bagi pelajar sekolah berbanding jika memakai baju kasual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 3:15 PM