PELANGGAN menjamu selera dalam suasana unik.
PELANGGAN menjamu selera dalam suasana unik.
Oleh Izyan Liyana Mohd Darif


Sebaik sahaja daun pintu D'Sudu Garfu Cafe dibuka, mata tertumpu pada panel dinding palet hitam yang tertera perkataan hashtag '#sudugarfucafe' menggunakan rona putih.

Ia bukan sekadar hiasan semata-semata sebaliknya kata kunci itu memudahkan pelanggan mengikuti perkembangan dan koleksi foto yang dimuat naik dalam laman sosial Instagram premis itu.

Restoran yang berkeluasan 143 meter persegi itu memulakan operasi di Ipoh, Perak pada 24 Oktober lalu.

Biarpun masih baru, sambutan cukup mengalakkan khususnya daripada masyarakat sekitarnya.

Menurut pemiliknya, Mohamad Nayan Alias, 57, konsep dekorasi dan hiasan kafe adalah cetusan idea anak-anaknya.

"Kafe ini adalah perniagaan keluarga dan pemilihan nama sudu dan garfu timbul apabila melihat pelayan menyusun peralatan itu di setiap meja makan di sebuah restoran.

"Dari situ, kami menyedari betapa pentingnya penggunaan peralatan itu ketika menjamu selera, malah nama itu mudah diingati," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Katanya, pemilihan konsep santai dirasakan amat bertepatan bagi membolehkan pelanggan menjamu selera di rumah sendiri.

Kafe itu turut dijadikan lokasi pilihan buat pelanggan yang ingin ketenangan dan keselesaan ketika menjamu selera selain bersantai bersama rakan atau keluarga.

"Elemen vintaj, retro dan Inggeris disatukan bagi melatari segenap ruang di restoran ini apatah lagi, kini sebahagian besar pelanggan gemar berkunjung ke kafe yang mempunyai dekorasi unik serta menarik.

"Kebanyakan perabot dan bahan dekorasi di kafe ini adalah barangan tempatan yang disuai padan me­ngikut kesesuaian ruang.

"Gaya retro misalnya tertumpu pada titik tarikan sebuah Vespa 150 Super Sprint hijau yang diletakkan di satu sudut kafe ini," katanya yang mengusahakan kafe itu bersama isterinya, Mariam Ahmad, 57.

Berbicara berkenaan menu, Mariam berkata kafe yang menggunakan tagline Dari Dapur Mama itu menawarkan kira-kira 65 jenis makanan dan minuman bercirikan makanan tempatan, masakan Thai serta Barat.

"Kebanyakan sajian saya masak sendiri supaya pelanggan terasa seperti menikmati masakan di rumah," katanya.

Kreativiti menggabung­kan set perabot dalam pelbagai bentuk dan warna menyuntik elemen menarik.

Susunan kerusi daripada material kayu, besi dan plastik berona hitam, merah, putih serta coklat gelap itu menyerlahkan lagi sisi dekorasi konsep vintaj dan retro minimalis.

Lukisan mural pada salah satu dinding di kafe itu yang bermotifkan seorang wanita bergaya bersama Vespa turut mencuri tumpuan pelanggan.

Bagi anda yang ingin menikmati hidangan sambil bersantai, pilih saja sudut yang menempatkan sofa lembut bersama meja makan material kayu.

Dinding utama di ruang tamu dilatari gambar persekitaran bandar raya Ipoh sementara di kanan dan kiri diserikan dengan jambangan bunga serta lampu hiasan.

D'Sudu Garfu Cafe juga dilihat banyak bermain dengan bahan dekorasi seperti lampu pelbagai bentuk, pasu bunga mini serta jam dinding bermotifkan sudu dan garfu.

Dalam mencipta kelainan, kafe yang turut menyediakan ruang santapan di bahagian luar itu menggunakan koleksi cawan dan gelas comel beraneka bentuk untuk menghidangkan minuman panas serta sejuk.

Kunjungi D'Sudu Garfu Cafe di No.56, Laluan Tawas Damai, Anjung Tawas Impiana, Ipoh, Perak atau layari Instagram sudugarfucafe untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:01 AM