SELEPAS lagu dan buku, Fatah cadang olah novel ke drama.
SELEPAS lagu dan buku, Fatah cadang olah novel ke drama.
Ardini Sophia Sina


Walaupun ramai mengkritik buku 99 Kata-Kata #qaliffmoden dan lagu Wanita Terakhir daripada Fattah Amin, perkara itu tidak sedikitpun mengganggu fokusnya melaksanakan setiap perancangan yang dibuat.

Terbaru, Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 26, muncul dengan novel Wanita Terakhir dan sudah ada perancangan untuk melaksanakan projek selanjutnya.

Kata Fattah, dia konsisten mencari kelainan untuk dijadikan buah tangan buat peminatnya. Dia ingin mencuba sesuatu yang berbeza agar peminat nampak kesungguhannya.

“Walau dicaci sekalipun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya dan bakal muncul dengan buku ketiga.

“Buat masa ini saya masih belum mahu menulis, hanya menyumbangkan ilham dan Ezza Mysara menulis cerita itu sepertimana saya bayangkan,” katanya.

Selain berlakon, Fattah yang mula dikenali melalui drama Playboy Itu Suami Aku, mahu mencuba cadang seni lain. Bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga hadiah kepada peminat.

“Saya tidak mahu melakukan sesuatu sama seperti orang lain. Saya inginkan kelainan, sebab itulah saya memilih untuk menulis buku, menyanyi dan yang terbaru novel ini. Semua itu saya lakukan khas buat peminat,” katanya.

Bagi Fattah, komen negatif itu pasti sentiasa ada dalam setiap perkara yang dia lakukan tetapi kejayaan hasil karyanya adalah bukti dia tetap berjaya walau apa jua rintangan.

Katanya, walaupun ramai melemparkan kata-kata negatif, dia anggap itu sebagai satu publisiti kerana buku-bukunya mendapat sambutan.

“Buku 99 Kata-Kata #qaliffmoden muncul kategori Buku Popular di Anugerah Buku Negara 2017. Saya memang tidak menjangka buku yang dikecam teruk itu mendapat pengiktirafan sebegitu.

“Saya tidak terfikir buku itu dipilih sebagai buku popular dan ini pencapaian yang membanggakan. Sejak pertama kali dicetak, setakat ia mencatat jualan 5,000 naskhah.

“Saya juga bercadang menerbitkan buku itu dalam bahasa Inggeris tetapi ia masih di peringkat perbincangan,” katanya.

Jika novel Wanita Terakhir mendapat sambutan menggalakkan, Fattah akui tidak mustahil akan mengadaptasinya menjadi drama. Apapun, hanya setakat itu yang dapat dikongsinya dan andai perkara itu menjadi kenyataan, akan diumumkan nanti.

“Saya tidak mahu terlalu bercerita perkara yang masih belum pasti. Saya suka berkongsi berita gembira tetapi biarlah perkara itu sudah pasti barulah saya dedahkan semuanya.

“Novel pun baru dijual dan kami masih lagi dalam rangka mempromosikan karya itu. Masih terlalu awal untuk bercerita mengenai pelakon, pengarah mahupun penerbit. Apa yang pasti, saya akan berlakon sebagai watak utama dalam drama adaptasi novel itu.

“Buat masa ini, cuma itu yang saya dapat kongsikan. Bimbang nanti apabila terlalu banyak bercerita, tiba-tiba tidak menjadi. Nanti pihak kami akan buat sidang media untuk umumkan apabila ia sudah menjadi kenyataan,” katanya.

Selepas lagu dan buku Wanita Terakhir, kini Fattah ingin menumpukan perhatian kepada lakonannya untuk drama Hero Seorang Cinderella berganding dengan Fazura.

Kata Fattah, dia sentiasa mengharapkan setiap lakonannya mendapat sambutan baik dan drama itu ‘meletup’ sama seperti siri sebelum ini, Suri Hati Mr Pilot berganding dengan Neelofa.

Sehingga kini, Fattah sedar namanya masih dikaitkan dengan drama Suri Hati Mr Pilot.

Katanya, dia tidak berasa tekanan selama-lamanya akan terus dibayangi drama itu.

“Bagi saya itu semua rezeki dan kita tidak boleh jangkakan penerimaan peminat dalam setiap lakonan kita. Jujur saya tidak terfikir pun Suri Hati Mr Pilot menjadi rantaian yang berjaya menarik perhatian penonton.

“Untuk lakonan kali ini pun, saya tidak boleh meletakkan harapan sama. Sesiapa pun tidak akan tahu nasib sesebuah drama itu.

“Kalau yang pertama ‘meletup’ dan seterusnya akan mendapat maklum balas sama, itu rezeki dia,” katanya.

Untuk filem pula, Fattah yang pernah membintangi Manisnya Cinta Di Cappadoccia, menantikan tayangan filem terbaru lakonannya, KL Special Force arahan Syafiq Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 8:17 AM