BERNAMA

Bangkok: Dua raja dadah Malaysia yang amat dikehendaki ditahan pihak berkuasa Thailand minggu lalu, Mr T atau Malaysian Iceman dari Johor dan Mr G dari Pulau Pinang, dianggap anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab menyeludup ratusan kilogram dadah ke Malaysia.

Menurut pelbagai sumber polis Thailand yang mengekori kedua-duanya sejak berbulan-bulan, mereka yang menyedari menjadi buruan pihak berkuasa, menggunakan pelbagai helah yang dipelajari daripada buku untuk mengelak dikesan.

“Misalnya bagi mengelak dikesan, Mr T sengaja menghidupkan telefon bimbitnya dan meninggalkannya di rumah kosong di Sadao ketika dia ke Chiang Rai untuk memesan dadah.

"Dia juga meninggalkan rumahnya dengan lampu dan sistem pendingin hawa terpasang, kononnya dia berada di rumah," kata satu sumber.

Sumber itu yang enggan dikenali berkata, ketika berada di Chiang Rai, utara Thailand, suspek berumur 64 tahun itu hanya menggunakan telefon awam dan telefon bimbit milik rakan-rakannya bagi menghubungi isteri berketurunan Thai yang tinggal bersama anak lelaki mereka berusia 16 tahun di Hatyai.

Namun tanpa pengetahuannya, pihak berkuasa mengawasinya sejak identitinya terbongkar hasil siasatan dua rakyat Malaysia di Sadao pada Mac tahun lalu, susulan percubaan mereka menyeludup 282 kilogram ''Ice'' ke Malaysia.

Siasatan ke atas kedua-duanya membawa kepada maklumat berguna mengenai Mr T iaitu pemilik dadah berkenaan dan peranannya dalam satu lagi kes penyeludupan dadah ke Malaysia.

Mr T bertanggungjawab sekurang-kurangnya lima penyeludupan ke Malaysia, yang setiap satu lebih 100 kilogram Ice ke lokasi tidak diberitahu, sebelum dadah itu dibawa ke negara ketiga.

Lelaki itu tinggal di Thailand sejak 20 tahun lalu, dan fasih berbahasa Thai, diberkas polis Thailand di lapangan terbang Hatyai sebaik kembali dari Chiang Rai pada 19 April lalu.

Pihak berkuasa mendapati dia membina empayar perniagaan di Hatyai dan Sadao meliputi pusat hiburan, restoran, hotel dan hartanah, yang semuanya dirampas pihak berkuasa.

Beberapa hari selepas penahanan Mr T, polis Thai menahan seorang warga Malaysia berumur 44 tahun yang disifatkan pihak berkuasa sebagai kejam dalam kalangan anggota sindiketnya.

Dia dikenali menggunakan seksaan bagi memastikan anggotanya mematuhi arahan dan menjayakan tugas yang diberi kepada mereka.

Seperti Mr T, aktiviti Mr G terbongkar dengan penahanan dua individu Malaysia di Chumphon, selatan Thailand, akhir tahun lalu dengan hampir 52.4 kilogram heroin dan 41.9 kilogram methaphetamine dirampas.

Pihak berkuasa Thailand mengawasi individu itu sebaik memasuki Thailand sebelum cuti perayaan Songkran, memantaunya di Bangkok dan Chiang Mai, sebelum menahannya di lapangan terbang Suvarnabhumi, ketika hendak menaiki pesawat pulang ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 5:54 PM