KAMERA AES. FOTO arkib NSTP
KAMERA AES. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Kubu Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memasang tujuh lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebelum akhir tahun ini, sebagai tambahan kepada 14 kamera AES sedia ada, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron.

Beliau berkata, pemasangan kamera AES itu akan dilakukan di lokasi yang sering berlaku kemalangan.

"JPJ dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah meneliti beberapa lokasi tumpuan yang sering berlaku kemalangan.

"Setakat ini 14 kamera AES telah dipasang di seluruh Semenanjung, dengan penambahan kamera ini ia mampu mengurangkan jumlah kemalangan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan tarikh pemasangan serta lokasi tujuh kamera AES berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Nadzri berkata setakat 13 hari pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara), 19,230 saman telah dikeluarkan.

"Ia meliputi 16,791 saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 2,439 saman kerana melanggar lampu isyarat merah bagi tempoh 15 hingga 27 April.

"Walaupun kita telah melaksanakan sistem ini, tapi peningkatan jumlah saman memperlihatkan sikap atau kesedaran masyarakat untuk mematuhi undang-undang masih di tahap rendah," katanya.

Pada 15 April lalu, JPJ telah memperkenalkan sistem Awas bagi membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya yang hanya melibatkan kesalahan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah.

Dalam majlis itu 452 peserta luar bandar mendapatkan lesen memandu percubaan motosikal B2 (motosikal tidak melebihi 250cc).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:42 PM