FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Mohamad Hussin


KEMENTERIAN Pengangkutan bersetuju dengan cadangan Plus Malaysia Berhad (PLUS) untuk memasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di enam lebuh raya kendaliannya termasuk di Jambatan Pulau Pinang tanpa mengenakan sebarang kos pemasangan kepada kerajaan.

Menterinya Anthony Loke berkata, pihaknya akan berbincang dengan PLUS mengenai cadangan yang dikemukakan pihak konsensi lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, pada dasarnya kementerian bersetuju dengan cadangan PLUS memasang kamera AES di lokasi panas yang sering berlaku kemalangan.

Menurutnya, lokasi pemasangan kamera AES akan ditentukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Setakat ini, belum ada keputusan berapa jumlah dan lokasi ia akan dipasang. PLUS hanya melaksanakan pemasangan kamera AES tetapi pemantauannya kelak akan diuruskan JPJ.

“Kementerian tidak akan mengeluarkan sebarang peruntukan untuk memasang kamera AES sebaliknya PLUS yang akan menanggung segala kos pemasangan.

“Sebelum ini, kerajaan terpaksa membayar dengan cara dikongsi secara bersama dengan pihak syarikat yang diberi kontrak, namun kali ini PLUS tidak akan mengenakan bayaran sesen pun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kelana Jaya, hari ini.

Menurutnya, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PLUS dan cadangan pemasangan itu bertujuan mengelak kemalangan berlaku.

“Kerajaan bukan sesuka hati memasang AES untuk mengutip saman sebaliknya mahu pengguna lebuh raya lebih berhati-hati ketika memandu.

“Jangan ada pihak yang kata kerajaan suka kutip saman. Ia ada tujuan dan kajian kenapa kita pasang AES,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Singapura mencadangkan kepada Malaysia untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, di republik itu pada 31 Mei depan.

Bagaimanapun katanya, pada mesyuarat Kabinet semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu ia dipendekkan kepada 31 Mac ini.

“Saya sudah menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Singapura pagi tadi memaklumkan mengenai perkara itu. Kini terpulang kepada kerajaan SIngapura berhubung perkara itu.

“Sekiranya kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh yang kita cadangkan, barulah surat perjanjian akan dikeluarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 6:53 PM