TATU pudar selepas rawatan.
TATU pudar selepas rawatan.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Tompok gelap, jeragat dan ton kulit tidak sekata sering menjadi kebimbangan setiap orang dan bagi mengembalikan kecantikan kulit, pelbagai jenis produk penjagaan dicuba.

Menerusi inovasi dan kemajuan teknologi, kini terdapat rawatan pantas menerusi laser yang boleh memberikan hasil selamat dan berkesan dalam mengatasi masalah itu.

Penggunaan laser untuk mengembalikan ton kulit sekata antara prosedur yang digemari warga Asia bagi menghilangkan masalah jeragat dan kecerahan kulit secara keseluruhannya. Bagaimanapun, dengan teknologi laser yang ada sekarang, hasilnya tidak sebaik yang dijangka dan pemulihan berlaku secara perlahan.

Antara penyelesaian kepada masalah itu ialah PICO Genesis, pembekal terkemuka di dunia bagi laser, cahaya dan sistem perubatan estetik berasaskan tenaga untuk pengamal perubatan estetik seluruh dunia.

Satu prosedur inovatif rawatan PICO Genesis Enlighten diperkenalkan oleh Cutera menggunakan dwigelombang dan laser denyutan pantas untuk memperbaiki ton kulit dan wajah, merawat jeragat malah dapat membuang cacah (tatu) pada kulit.

Pengarah Perubatan Klinik Clique Dr Lim Tim Song berkata, PICO Genesis ialah terapi pemulihan kulit yang lembut dan berkesan untuk semua masalah pigmentasi kulit dan ia menjadi platform pelbagai gelombang dan laser ‘picosecond (ps) + nanosecond (ns)’ pertama.

Menurutnya, sistem pertama yang hanya terdapat di klinik itu dengan teknologi yang berfungsi menyalurkan rangkaian tenaga luas kepada pelbagai gelombang dengan profil keselamatan tinggi seterusnya memberikan pemulihan maksimum kepada pesakit melalui sesi rawatan minimum.

“Dengan rawatan ini, selain memperbaiki ton kulit, kulit menjadi lebih cerah dan tegang. Selain kebolehan membuang cacah (tatu) yang tidak diingini, ia juga mencetus revolusi pemulihan kulit yang berkesan bagi pigmentasi akibat bekas parut luka,” katanya pada pelancaran Rawatan PICO Genesis terbaru.

Pada majlis itu, selebriti Bernie Chan dan Emily Lim turut berkongsi pengalaman sebelum dan selepas rawatan.

Dr Lim berkata, PICO Genesis dilaporkan memberi perubahan dramatik dalam merawat masalah jeragat kulit dan memberikan perubahan ketara terhadap wajah pesakit seawal dua rawatan saja.

Bergantung kepada keadaan dan jenis kulit, keseluruhan masa rawatan hanya mengambil masa 20 minit dari mula hingga akhir, tidak menyakitkan dan amat pantas.

Rawatan yang diukur dalam unit ps + ns itu katanya, menggunakan teknologi denyutan laser terpendek dalam pasaran.

Cutera Enlighten berkuasa menembusi perubahan warna degil dan cacah yang tidak diperlukan. Ia berfungsi membuang cacah dan rawatan pigmentasi ringan disebabkan oleh kecederaan.

KAEDAH RAWATAN

Tompok gelap pada kulit mengandungi melanin berlebihan. Melanin ialah bahan yang memberikan warna dalam kulit kita, tetapi apabila ia berlaku dalam kepekatan tinggi, ia boleh menyebabkan tompok coklat yang tidak diingini dan ton kulit tidak sekata.

Apabila cahaya laser dari Enlighten digunakan untuk merawat tompok gelap, melanin menyerap cahaya laser menyebabkan ia dipecahkan ke dalam zarah kecil yang kemudian dibuang atau diserap ke dalam badan.

Satu siri dua atau tiga rawatan disyorkan untuk mencapai hasil optimum, dan rawatan penyelenggaraan yang berterusan digalakkan untuk mengekalkan hasil yang baik.

Rawatan ini sesuai untuk wajah, tangan dan bahagian lain tubuh yang menampakkan tanda kerosakan akibat sinaran matahari dan pigmentasi.

Sebelum rawatan, kawasan sasaran dibersihkan terlebih dulu. Anda akan berasa hujung peranti laser menyentuh kulit. Apabila laser menembak, pesakit akan berasa sakit hanya seperti gelang getah yang dijentik ke kulit.

Kebanyakan pesakit tidak rasa ketidakselesaan semasa rawatan, tetapi jika berlaku, mereka mungkin akan diberi anestetik topikal. Sejurus selepas rawatan, pesakit boleh meminta udara sejuk atau pek ais untuk masa yang singkat.

Pesakit perlu melindungi bahagian yang dirawat daripada matahari dan memakai krim tabir suria manakala rawatan susulan juga mungkin disarankan.

Kesan sampingan yang mungkin berlaku ialah kebanyakan pesakit merasai kemerahan ringan dan bengkak sebaik saja selepas rawatan.

Kesan sampingan ini bersifat sementara dan biasanya hilang dalam beberapa jam. Dalam beberapa hari, pigmen akan kelihatan lebih gelap. Ini juga sementara dan tanda rawatan berkesan kepada pesakit. Tompak gelap pula mengelupas selama beberapa hari.

Walaupun pesakit mungkin mengalami kemerahan ringan dan bengkak untuk beberapa jam, pesakit boleh kembali melakukan aktiviti biasa sejurus selepas rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 10:51 AM