MESIN berteknologi tinggi untuk rawatan pelbagai masalah kulit.
MESIN berteknologi tinggi untuk rawatan pelbagai masalah kulit.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Siapa yang tidak inginkan kulit licin dan selembut sutera? Namun, tidak semuanya cukup bertuah dikurniakan kulit sihat, bermaya dan mulus tanpa jerawat, jeragat mahupun masalah kulit lain yang menjengkelkan.

Sebenarnya masalah ini boleh ditangani tanpa banyak kesan sampingan sekiranya dirawat dengan betul atas nasihat pakar estetika atau pusat kecantikan bertauliah.

Medi Beaute antara yang menawarkan perkhidmatan dinamakan E-light Photofacial khusus untuk merawat wajah yang bermasalah mengggunakan denyutan lampu impuls (IPL).

Menurut Jurulatih Kanannya, Samantha Chua, terapi bukan laser itu berfungsi dengan sumber cahaya kuat yang memancarkan gelombang berganda ke dalam kulit untuk membantu meremajakan kulit dan mempunyai keupayaan menembusi kulit dengan kerosakan yang minimum.

Katanya, seperti laser, terapi ini menapis pelbagai gelombang cahaya untuk bertindak balas dengan keadaan kulit tertentu, berkesan merangsang pertumbuhan semula kulit di epidermis serta dermis melalui peningkatan kolagen dan penghasilan gentian elastin.

WAJAH dibersihkan untuk membuang kekotoran.
WAJAH dibersihkan untuk membuang kekotoran.

“IPL adalah antara teknik yang kini banyak digunakan dalam bidang dermatologi. Ia membabitkan penggunaan spektrum cahaya yang luas tetapi terkawal untuk masalah pigmentasi, jerawat, membuang bulu dan antipenuaan.

“Ia berfungsi melalui tenaga cahaya yang ditukar kepada tenaga haba dan memusnahkan sel yang menghasilkan sel melanin atau pigmen hiperaktif di lapisan kulit, menyebarkan kawasan berpigmen secara sekata, seterusnya menghapuskan bintik penuaan, bintik matahari dan jeragat.

“Ia boleh merawat pelbagai keadaan kulit, mengurangkan garis halus dan kedutan menjadikan kulit lebih berseri. Mesin ini menyediakan beberapa program mengikut cahaya berbeza untuk masalah yang disasarkan.

“Misalnya, penggunaan cahaya merah untuk merangsang kolagen dan mengurangkan warna kulit tidak sekata, cahaya biru pula bersifat antiradang jadi, ia baik digunakan untuk kulit berjerawat ,” katanya.

PROSEDUR terapi dimulakan.
PROSEDUR terapi dimulakan.

Menurut Samantha, terapi ini bukanlah laser walaupun kedua-duanya menggunakan cahaya untuk rawatan yang ditukarkan menjadi tenaga haba bagi mengurangkan sel yang menghasilkan melanin.

Katanya, perbezaan utama antara kedua rawatan itu adalah jenis cahaya yang dipancarkan. Laser menyediakan warna cahaya tunggal (monokromatik) untuk menyasarkan kawasan dan keadaan tertentu.

Manakala terapi E-light Photofacial katanya memberikan spektrum cahaya yang luas (polikromatik), meliputi kawasan lebih besar dan menghasilkan gelombang yang berbeza.

Dengan kata lain, laser mempunyai pendekatan yang lebih disasarkan manakala IPL boleh dikawal dan oleh itu kurang berkemungkinan menyakitkan berbanding laser.

MASKER dipakai selama 15 minit.
MASKER dipakai selama 15 minit.

“IPL adalah prosedur tidak invasif, malah spektrum cahaya luas menembusi lapisan kulit yang lebih dalam tanpa merosakkan atau mencederakan lapisan atas atau epidermis. Disebabkan gelombang boleh ditapis, prosedur ini tidak mempunyai sebarang kesan negatif pada sel dan tisu berdekatan di kawasan yang disasarkan.

“Oleh itu, risiko terapi ini adalah minimum dan selalunya pesakit boleh kembali ke aktiviti normal selepas itu berbanding rawatan laser yang memerlukan sekurang-kurangnya tempoh seminggu penyembuhan kulit,” katanya.

URUTAN lembut wajah dan bahu selepas rawatan untuk melancarkan peredaran darah.
URUTAN lembut wajah dan bahu selepas rawatan untuk melancarkan peredaran darah.

Menurutnya, sebelum rawatan, ahli terapi akan menilai keadaan kulit untuk mengesahkan jika mereka sesuai bagi menjalani prosedur itu.

Untuk prosedur ini katanya, kawasan yang disasarkan seperti wajah akan dibersihkan terlebih dulu dengan teknik pencucian berganda bagi mengeluarkan sebarang kotoran yang dapat mengurangkan keberkesanan rawatan.

Pesakit juga disediakan kacamata pelindung yang harus dipakai sepanjang terapi yang mengambil masa antara 10 hingga 15 minit. Keseluruhan rawatan mengambil masa kira-kira dua jam.

Selepas terapi, pesakit boleh kembali ke aktiviti seperti biasa, namun pendedahan terhadap cahaya matahari perlu dielakkan.

“Kebanyakan risiko dan komplikasi terapi ini adalah kecil dan dijangkakan. Ini termasuk kulit kemerahan yang mungkin berlangsung selama beberapa hari selepas rawatan dan ketidakselesaan,” katanya.

WAJAH lebih cerah dan berseri selepas rawatan.
WAJAH lebih cerah dan berseri selepas rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 7:01 AM