WAI Ching menunjukkan pingat yang dimenanginya. FOTO ihsan Soh Wai Ching
WAI Ching menunjukkan pingat yang dimenanginya. FOTO ihsan Soh Wai Ching
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Jaguh larian menara negara, Soh Wai Ching yang mengungguli cabaran keseluruhan di Larian Menara Zagrepcanka 512 di Zagreb, Croatia, semalam, turut cemerlang dalam Larian Satu Batu di Zagrebacka, hari ini.

Atlet berusia 28 tahun itu menampilkan larian bertenaga untuk menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa empat minit dan 43 saat dan hanya tiga saat di belakang juara, Danijel Peček dari Croatia.

Wai Ching berkata, antara sebab dia ketinggalan adalah kerana hampir terjatuh di selekoh tajam trek larian semasa sedang memecut.

"Saya tahu semakin hampir dengannya (Danijel Peček) selepas 1 kilometer (km). Saya meneruskan larian dan ketika berada di selekoh tajam saya hampir terjatuh.

"Bagaimanapun, saya tidak terjatuh apabila berjaya menahan dengan kaki kiri dan meneruskan semula larian," katanya.

Wai Ching mengakui, larian dilakukannya itu agak perlahan berbanding sebelum ini selain menegaskan akan terus memperbaiki segala kelemahan yang ada untuk kejohanan akan datang.

"Catatan masa hari ini menunjukkan saya semakin perlahan untuk menamatkan larian dan masih banyak perkara perlu diperbaiki untuk berlari dengan pantas.

"Selepas larian ini, saya memutuskan untuk menyertai beberapa acara lagi sebagai latihan," katanya.

Untuk rekod, pada 29 Ogos lalu Wai Ching mempertahankan kejuaraan Larian Menara Cologne, Jerman dengan rekod baharu serta menjuarai kategori keseluruhan Kejohanan Larian Menara Jerman dengan mendaki 714 anak tangga di bangunan 39 tingkat dalam masa tiga minit dan 17 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 5:07 PM