ALOIS Hofbauer
ALOIS Hofbauer
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle) akan memberikan tumpuan bagi meningkatkan kecekapan keseluruhan rantaian nilainya dengan melabur bagi pengukuhan jenama dan inovasi sebagai pelan perniagaannya pada tahun kewangan semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Alois Hofbauer berkata, sebagai syarikat pengeluar makanan dan minuman utama, pihaknya juga berhasrat untuk mengukuhkan lagi promosi perdagangan dan segmen penggunanya.

Beliau berkata, seiring dengan prospek jangka panjang Malaysia yang cerah, ia dilihat sebagai petanda baik bagi prestasi syarikat pada tahun ini untuk lebih cemerlang lagi.

“Meninjau ke hadapan, kos input yang lebih tinggi selain tahap keyakinan pengguna akan memberikan cabaran kepada syarikat pada tahun ini.

“Biarpun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi, namun kami yakin strategi yang akan dilaksanakan itu berlandaskan kepada teras penting bagi menjana inovasi dan melaksanakan transformasi untuk pertumbuhan yang sihat,” katanya, semalam.

Nestle merekodkan perolehan bagi suku pertama tahun ini sebanyak RM1.4 bilion, peningkatan sebanyak 4.4 peratus berbanding RM1.3 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih tinggi sebanyak RM291 juta, peningkatan 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu manakala keuntungan selepas cukai (PAT) juga meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada RM230 juta bagi suku tahun dilaporkan.

Hofbauer berkata, prestasi dicatatkan itu berdasarkan kepada sumbangan kukuh daripada jualan domestik dan eksport yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 4.7 peratus dan 3.6 peratus.

“Kami memulakan tahun ini dengan mencatat keputusan yang mantap dengan jualan domestik dipacu oleh promosi pemasaran dan perdagangan serta disokong oleh asas kukuh yang dibina daripada produk baru.

“Keputusan kami untuk melabur terlebih dulu dalam promosi pemasaran dan perdagangan pada suku terakhir 2016 adalah tepat kerana ia terbukti memberi keputusan yang positif pada suku pertama ini,” katanya.

Selain itu, Nestle turut melancarkan beberapa inovasi produk baru pada suku tahun yang dilaporkan seperti MAT KOOL Panda, NESCAFE GOLD Creamy Latte dan Dark Latte, MAGGI Hot Mealz, Mi MAGGI Perisa Ayam Bijan Panggang dan KITKAT Mini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 5:30 AM