Anggota bomba menjalankan operasi menampal kebocoran mesin kompresor di sebuah kilang ais. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba menjalankan operasi menampal kebocoran mesin kompresor di sebuah kilang ais. FOTO ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak


Kuala Kangsar: Bomba mengambil masa lebih empat jam bagi menangani insiden kebocoran gas amonia di sebuah kilang ais di Taman Sri Maju, di sini, hari ini.

Kebocoran dikesan berlaku 1.30 tengah hari selepas tiga pekerja kilang mengalami sesak nafas dipercayai terhidu gas berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Khairil Anuar Sharuddin berkata, pihaknya menerima makkumat 1.54 tengah hari memaklumkan berlaku kebocoran gas amonia membabitkan mesin kompresor di kilang terbabit.

"Terdapat tiga lelaki dipercayai terhidu gas berkenaan dan ketika bomba tiba, mangsa sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Pihak hospital bagaimanapun memaklumkan keadaan mangsa selamat serta tidak terdapat kesan daripada bahan kimia itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) kemudian membuat tampalan pada kebocoran yang berlaku.

"Bomba meneutralkan kawasan kilang itu dengan menggunakan air sehingga operasi selesai sepenuhnya 6.31 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 9:05 PM