Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Empat lelaki termasuk tiga anggota penguat kuasa sempadan ditahan polis selepas dipercayai menjalankan aktiviti pemerasan di sebuah kedai runcit di Lorong Surau Baru, Pasir Panjang, di sini, 11.30 malam semalam.

Difahamkan, kumpulan itu berjumpa dengan seorang peniaga di kedai runcit berkenaan kononnya atas arahan ketua mereka untuk menjalankan pemeriksaan.

Menurut sumber, peniaga itu mengenali kumpulan lelaki terbabit kerana mereka pernah ke kedai berkenaan pada Februari lalu.

Katanya, seorang daripada lelaki itu mengarahkan peniaga terbabit menghubungi abangnya dipercayai untuk pemerasan tetapi mangsa enggan berbuat demikian.

“Abang mangsa bagaimanapun tiba bersama beberapa penduduk kampung tidak lama kemudian dan mengepung kawasan itu.

“Kumpulan terbabit ditahan sebaik sepasukan polis tiba dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya,

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Senior Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, suspek berusia 31 hingga 53 tahun kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:28 PM