Kuala Lumpur: Nilai eksport Malaysia bagi November 2014 naik 2.1 peratus kepada RM63.73 bilion, tertinggi pernah dicatatkan untuk bulan November.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, eksport barangan perkilangan menokok 4.6 peratus kepada RM49.58 bilion berbanding November 2013 disebabkan peningkatan eksport produk elektrik dan elektronik sebanyak RM1.52 bilion diikuti produk kimia dan bahan kimia (RM404.6 juta) selain besi dan keluli (RM347.2 juta).

Katanya, eksport barangan pertanian jatuh 13.4 peratus kepada RM5.17 bilion disebabkan penurunan eksport minyak sawit dan getah asli mentah berikutan kejatuhan jumlah dagangan dan harga.

“Eksport produk perlombongan susut 0.4 peratus kepada RM8.66 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport gas asli cecair sebanyak RM412.1 juta.

“Eksport petroleum mentah bagaimanapun meningkat 12.5 peratus berikutan pertambahan volum,” katanya.

MITI berkata, nilai lebihan dagangan sebanyak RM11.13 bilion yang dicatatkan adalah tertinggi sejak November 2011 manakala import kekal pada RM52.6 bilion.

“Jumlah dagangan keseluruhan bagi November bernilai RM116.33 bilion, peningkatan 1.2 peratus daripada RM114.93 bilion yang dicatat tahun lalu,” katanya.

Bagi tempoh 11 bulan 2014, MITI melaporkan eksport kekal kukuh dan berkembang 6.8 peratus kepada RM698.44 bilion, hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding pertumbuhan yang dicatat untuk tempoh sama 2013 pada 1.4 peratus.

“Pertumbuhan eksport dicatat membabitkan pasaran utama iaitu ASEAN, Kesatuan Eropah, Hong Kong, India, Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Taiwan,” katanya sambil menambah import meningkat 5.4 peratus kepada RM624.52 bilion.

Jumlah perdagangan keseluruhan berkembang sebanyak 6.1 peratus kepada RM1.323 trilion berbanding RM1.247 trilion daripada tempoh sama 2013. Lebihan dagangan pula meningkat 20.1 peratus kepada RM73.92 bilion berbanding penurunan 29.7 peratus yang dicatat dalam tempoh sama 2013.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:32 AM