Reuters

Jakarta: Pendakwa raya Indonesia semalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tertangguh satu tahun terhadap gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang didakwa menghina Islam.

Permohonan itu dibuat dalam perbicaraan sehari selepas Basuki atau dikenali sebagai Ahok tewas dalam pilihan raya gabenor Jakarta.

Dalam keputusan tidak rasmi pilihan raya itu, Ahok tewas dengan peratusan yang besar terhadap bekas menteri pelajaran, Anies Baswedan.

“Kami merayu hakim menjatuhkan hukuman satu tahun penjara dengan dua tahun tempoh percubaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur kebencian dan penghinaan terhadap sebahagian rakyat Indonesia,” kata ketua pendakwa raya, Ali Mukartono.

Peguam Ahok, Humphrey Armri Djemat memberitahu, cadangan hukuman itu bermakna Ahok tidak akan dipenjarakan melainkan dia mengulangi kesalahan itu dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, katanya, pasukan pembelaan Ahok akan mendesak semua tuduhan terhadap gabenor itu digugurkan.

Ahok, gabenor Jakarta pertama dari etnik Cina dan beragama Kristian mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghina agama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun jika sabit tuduhan.

Keputusan perbicaraan itu dijangka diumumkan beberapa minggu lalu.

Ahok didakwa atas satu ucapannya tahun lalu yang mendakwa lawannya menggunakan ayat suci al-Quran untuk menipu pengundi supaya tidak mengundinya.

Ucapan itu mencetuskan kemarahan kumpulan Islam yang membuat bantahan besar-besaran bagi mendesak Ahok dipecat dan dipenjarakan.

Semalam, anggota kumpulan Islam yang berkumpul di luar mahkamah berang selepas mengetahui pendakwa raya memohon hukuman yang ringan.

Beratus-ratus penunjuk perasaan melaungkan slogan “Tidak cukup” di luar mahkamah dan mahu Ahok dipenjarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:57 AM