AFP

Rome: Juara bertahan, Novak Djokovic melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan Nicolas Almagro 6-1, 6-7 (5/7), 6-3 pada perlawanan pertama Terbuka Itali, kelmarin.

Pemain nombor satu dunia dari Serbia itu melakar rekod kemenangan 30-5 di gelanggang tanah liat dan muncul juara pada 2008, 2011 dan tahun lalu ke atas Rafel Nadal.

Djokovic memegang servis ketika kedudukan 5-3 ketika menentang Almagro dan servisnya gagal dikembalikan sekali gus menamatkan saingan dengan 11 ace.

Ia perlawanan kompetitif pertama Djokovic sejak memenangi kejohanan di Monte Carlo hampir sebulan lalu. Bintang Serbia itu kini melakar 18 kemenangan berturut-turut.

“Persembahan saya turun naik tetapi tahap keyakinan saya dibantu kemenangan yang dilakar sepanjang tahun ini,” kata Djokovic.

“Saya jangka dia akan bangkit melawan dan bermain lebih baik. Itulah yang dia lakukan.

“Dia berhak menang set kedua walaupun saya mungkin mengheret perlawanan ke tie break. Bagaimanapun, saya berjaya juga akhirnya. Selepas tiga minggu tidak bermain, satu perkara biasa apabila saya berasa sedikit tidak selesa.”

Sementara itu, Andy Murray akan bermain hari ini selepas perbalahan dengan pasukan pengurusannya selesai.

Juara di Munich dan Madrid itu akan menentang pemain Perancis Jeremy Chardy.

Sebelum ini, pasukan pengurusan Murray tidak dapat menentukan sama ada pemain tu wajar berehat atau bermain di Terbuka Itali.

Murray yang mengatasi Nadal di final Madrid, berkata persiapannya untuk ke Terbuka Perancis berada di landasan tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:56 AM