POLIS membawa jenazah mangsa ke Hospital Kuala Krai. FOTO ihsan pembaca
POLIS membawa jenazah mangsa ke Hospital Kuala Krai. FOTO ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kuala Krai: Wanita ditemui maut selepas dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada di sini, hari ini.

Mangsa, Rokiah Mamat, 61, ditemui pada 3.30 petang oleh anak lelakinya berusia 30-an yang bekerja sebagai guru.

Wanita itu ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai di bahagian dapur rumah dan terdapat kesan darah di bahagian belakang badan mangsa dipercayai ditikam dengan menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, kejadian itu disedari anak lelaki mangsa yang baru pulang mengajar dari sebuah sekolah.

"Anak mangsa kemudian membunyikan hon kereta, namun ibunya tidak keluar dari rumah sebelum mendapati pintu di bahagian dapur terbuka.

"Anaknya mencari ibunya dan menemui mangsa terlentang di bahagian dapur rumah sebelum melaporkan kepada polis," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati keadaan rumah dan bilik digeledah suspek untuk mencari wang serta barang berharga.

Beliau berkata, polis percaya mangsa berkemungkinan dibunuh kira-kira 11 pagi berdasarkan daripada kesan darah di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Krai dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 9:28 PM