Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Empat lelaki disyaki terbabit dalam kes samun yang menyebabkan kematian wanita di Kampung Mengkebang, Kuala Krai ditahan di daerah itu, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, semua suspek berusia antara 30 hingga 40-an ditahan di kawasan berasingan di Kuala Krai antara 10 malam hingga 4 pagi tadi.

Katanya, mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita menahan suspek bagi membantu siasatan secara menyeluruh kes berkaitan," katanya yang ditemui selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian semalam, mangsa Rokiah Mamat, 61, ditemui anak lelakinya yang juga guru dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah pada 3.30 petang, manakala rumah mereka berselerak.

Terdahulu, Din menyaksikan serah tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu antara Asisten Komisioner Baharom Abu dan Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik.

Ismail menggantikan Baharom yang ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 2:37 PM