PENDUDUK kampung mencari sisa barangan yang  boleh digunakan selepas rumah mereka ranap terkena bedilan bom di Bainglar, Jammu.
PENDUDUK kampung mencari sisa barangan yang boleh digunakan selepas rumah mereka ranap terkena bedilan bom di Bainglar, Jammu.

Srinagar, India: Beribu-ribu warga India meninggalkan rumah masing-masing ekoran pertempuran di antara India dan Pakistan di sepanjang 200 kilometer sempadan yang memisahkan kedua-dua negara itu di Kashmir.

Ketegangan meningkat sejak Perdana Menteri India, Narendra Modi membatalkan rundingan damai dengan Pakistan Ogos lalu.

Pada masa sama, pertempuran di sepanjang sempadan terus berlaku sejak Oktober.

Sekurang-kurangnya 10 tentera India atau Pakistan serta orang awam terbunuh dalam pertempuran minggu lalu.

Pegawai kerajaan wilayah Jammu, Shantmanu berkata, kira-kira 6,000 orang awam di wilayah Kashmir yang ditadbir India meninggalkan rumah kelmarin selepas pertempuran kini turut membabitkan orang awam.

“Situasi di situ seakan-akan perang,” katanya.

Penduduk Sherpur, Sham Kumar, 54, berkata, tentera Pakistan menggunakan senjata jarak jauh untuk menyerang.

“Kami tidak pernah melihat serangan sesengit itu sebelum ini,” katanya.

Kumar berkata, dia meninggalkan kampungnya selepas sebuah bom meledak di sebuah sekolah yang terletak kira-kira 3.5 kilometer dari sempadan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:02 AM