PENG Soon (kiri) kehilangan Liu Ying yang mengalami kecederaan.
PENG Soon (kiri) kehilangan Liu Ying yang mengalami kecederaan.
Ferzalfie Fauzi


Kuching: Masalah kecederaan pemain beregu campuran, Goh Liu Ying sehingga menyebabkan naib juara Seluruh England itu tersingkir pusingan pertama Terbuka Malaysia kelmarin menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia dengan ‘pelan B’.

Menurut jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui memang Chan Peng Soon tidak menyatakan kekecewaan mengenai apa yang sering berlaku kepada pasangannya itu, namun BAM sudah ada perancangan awal untuk menggunakan khidmat pemain remaja.

“Dia (Peng Soon) tidak kecewa mungkin rasa sedikit hilang motivasi, namun kita bersedia untuk memberikan pertolongan kepadanya termasuk menggandingkannya dengan pemain remaja,” kata bekas pemain beregu wanita negara itu.

Jelasnya, Peng Soon mungkin digandingkan dengan pemain remaja untuk diuji dalam satu atau dua kejohanan tahun ini tetapi dalam masa sama masih mengekalkannya beraksi di kejohanan besar bersama Liu Ying termasuk di Kejohanan Dunia Glasgow 2017.

“Gandingan mereka berdua (Peng Soon-Liu Ying) akan dikekalkan seperti biasa. Bagaimanapun, kami akan cuba menggandingkan Peng Soon bersama pemain remaja seperti Peck Yen Wei dan Cheah Yee See. Mereka berdua akan bergilir-gilir berpasangan bersama Peng Soon dan ia juga baik buat pembangunan remaja.

“Sebelum ini kita dapat lihat bagaimana Liu Ying sentiasa mengalami kaki bengkak jika dia terlalu beraksi bermati-matian dalam mana-mana kejohanan. Ketika dia perlu berehat kita akan menggunakan pemain remaja untuk digandingkan bersama Peng Soon,” kata Eei Hui.

Ujarnya, setakat ini mereka dalam perancangan untuk menghantar Peng Soon-Yen Wei bermain di Terbuka Russia tiga minggu sebelum Kejohanan Dunia bermula.

Kelmarin, Peng Soon-Liu Ying tumpas kepada Edi Subaktiar-Gloria Emanuelle Widjaja 21-18, 19-21, 17-21 di depan ribuan penyokong sendiri di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 12:53 PM