LIU Ying (kiri) dan  Peng Soon diharap pamer aksi terbaik di Terbuka Jepun dan Korea Selatan.
LIU Ying (kiri) dan Peng Soon diharap pamer aksi terbaik di Terbuka Jepun dan Korea Selatan.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kesibukan menghadiri pelbagai majlis penyerahan insentif dan juga penghargaan bukan alasan buat pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memberikan aksi terbaik menjelang pusingan pertama Terbuka Jepun esok.

Menurut jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui, Peng Soon-Liu Ying tetap diharapkan untuk memberikan aksi mantap di Terbuka Jepun menjelang pusingan pertama bertemu Matthew Nottingham-Emily Westwood dari England.

“Saya rasa tahap mereka memang tidak sebaik ketika di Sukan Olimpik Rio, namun saya tetap mahu mereka berikan yang terbaik.

“Walau sibuk macam mana sekalipun, dengan pelbagai majlis perlu dihadiri, kami tetap mempunyai jalan untuk mengubah jadual latihan mereka,” kata Eei Hui.

Jelasnya, mereka sentiasa melakukan latihan lebih awal jika ada majlis perlu dihadiri namun beliau mengakui normal jika prestasi Peng Soon-Liu Ying sedikit menurun.

“Kita tidak boleh jangka mereka sentiasa berada di puncak prestasi setiap masa. Bagaimanapun, saya tetap mahu mereka berikan yang terbaik di Terbuka Jepun dan Korea Selatan.

“Mereka bukan pergi sana (Jepun dan Korea Selatan) untuk suka-suka kalah. Mereka perlu memberikan aksi terbaik, cuma saya rasa tahap mereka tidak akan sama seperti Olimpik,” katanya.

Eei Hui yang juga bekas pemain beregu wanita negara, berkata beliau juga akan mempersiapkan Peng Soon-Liu Ying menjelang Kejohanan Dunia tahun depan bermula dari sekarang.

“Mereka juga bakal berdepan misi untuk berada dalam kelompok lapan terbaik sehingga hujung tahun ini bagi melayakkan diri ke Siri Super Akhir di Dubai. Sekarang mereka belum sampai ke tahap itu selepas tidak beraksi di Terbuka Singapura dan India,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 9:16 AM