POLIS menunjukkan beberapa guni daun kering yang digunakan suspek (baju oren) untuk menipu pelajarnya. - detik.com
POLIS menunjukkan beberapa guni daun kering yang digunakan suspek (baju oren) untuk menipu pelajarnya. - detik.com
Agensi

Tangerang, Indonesia: Seorang guru agama yang mengaku mampu menukar daun menjadi wang ditangkap selepas memperdaya pelajarnya menyerahkan sejumlah wang untuk digandakan.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditangkap di Perum Bukit Cikasungka di daerah Solear pada Sabtu lalu selepas menerima aduan daripada pelajarnya.

Ketua Polis Kota Tangerang Asep Edi Suheri berkata, lelaki itu membuka kelas agama kira-kira lapan bulan lalu dan kini mempunyai 130 pelajar.

Katanya, setiap pelajar kelas itu diwajibkan membayar wang berjumlah Rp500,000 (RM166) hingga Rp7 juta (RM2,323) kepada suspek.

“Suspek meyakinkan pelajarnya wang itu akan digandakan dan diberikan semula sebagai modal untuk berniaga, membeli motosikal, kereta serta rumah.

“Suspek juga meminta pelajarnya mengemukakan kertas cadangan untuk berniaga dan dia berjanji memberikan modal untuk mereka memulakan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, suspek tidak memberikan modal dalam bentuk wang tunai, sebaliknya menyerahkan seguni daun kering kepada pelajarnya.

“Suspek memberitahu pelajarnya bahawa daun kering itu akan bertukar menjadi wang apabila tiba waktu duit itu diperlukan.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini daun itu masih belum bertukar menjadi wang,” jelasnya.

Tambahnya, suspek kini ditahan atas tuduhan menipu dan berdepan hukuman penjara 20 tahun jika didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 7:53 AM