Norzaishafril mengaku tidak bersalah tuduhan menerima rasuah pada Oktober 2014. FOTO ihsan SPRM
Norzaishafril mengaku tidak bersalah tuduhan menerima rasuah pada Oktober 2014. FOTO ihsan SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Pembantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kubang Pasu mengaku tidak bersalah tuduhan menerima rasuah pada Oktober 2014.

Tertuduh Norzaishafril Shaffie, 37, membuat pengakuan itu sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain dan minta bicara.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh didakwa menerima RM200 daripada Zafizah Zakaria, 40 di gudang minyak tidak bernombor di Kampung Remia Manis, Padang Terap pada 24 September 2014, jam 4.32 petang.

Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Hafiizh Abu Bakar yang meminta wang jaminan ditetapkan RM10,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu wang jaminan dikurangkan kerana wang simpanannya kurang RM2,000 selain wang itu untuk kegunaan merawat anaknya yang menghidap penyakit glaukoma.

Zanol kemudian membenarkan wang jaminan dikurangkan RM4,000 dan menetapkan 27 April tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 11:34 AM