TAN Cheng Hoe. FOTO arkib NSTPMALAI ROSMAH TUAH
TAN Cheng Hoe. FOTO arkib NSTPMALAI ROSMAH TUAH
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan rancangan badan induk itu menawarkan kontrak penolong jurulatih Harimau Malaysia kepada Tan Cheng Hoe tiada unsur sabotaj terhadap pasukan Kedah.

Dalam kenyataan di Facebook FAM, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menyatakan bahawa pemilihan Cheng Hoe, 49, dibuat sepenuhnya oleh jurulatih baru Harimau Malaysia, Mario Gomez tanpa campur tangan mana-mana pihak.

"Berkenaan isu yang ditimbulkan oleh laman sosial tidak rasmi yang gemar melaga-lagakan penyokong pula seperti berita mengenai jurulatih pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe. Untuk makluman semua, selepas saya melantik Mario Gomez sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan, saya telah berikan kebebasan kepada beliau untuk memilih sesiapa sahaja yang beliau mahu bekerja bersama tetapi dengan syarat iaitu penolong jurulatih beliau mestilah jurulatih tempatan.

"Mario sendiri menyatakan bahawa beliau berminat dengan Tan Cheng Hoe oleh kerana dalam ramai-ramai jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe adalah yang terbaik baginya. Tetapi ia terpulang kepada Tan Cheng Hoe untuk menerimanya atau tidak.

"Selain Tan Cheng Hoe, Mario juga memilih Raul Longhi, sekarang ini adalah penolong jurulatih JDT; jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz; jurulatih kecergasan dari luar negara (Itali atau Argentina) dan koordinator pasukan kebangsaan daripada AFC. Jadi, ini bukanlah satu perancangan untuk menjatuhkan mana-mana pihak seperti mana yang telah diwar-warkan oleh laman tidak rasmi yang sehingga hari ini belum pernah berdepan dengan saya," katanya.

Sebilangan besar penyokong Helang Merah nyata tidak dapat menerima keputusan Cheng Hoe meninggalkan Kedah yang kini dalam prestasi terbaik selepas menjuarai Piala Malaysia tahun lalu.

Arena Metro hari ini mendedahkan bekas penolong jurulatih Harimau Malaysia era Datuk K Rajagobal itu sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Jumaat lalu untuk kembali bertugas di Wisma FAM Kelana Jaya minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 11:16 AM