RONALDO (kanan)  jaring gol tunggal Real menerusi sepakan penalti.
RONALDO (kanan) jaring gol tunggal Real menerusi sepakan penalti.
AFP

Madrid: Pengurus Real Madrid Carlo Ancelotti tegas menyuarakan keyakinan anak buahnya tidak akan goyah selepas Valencia bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 dan menamatkan rekod 22 kemenangan berturut-turut pasukannya di Mestalla, kelmarin.

Kekalahan itu membuatkan Los Blancos kini hanya satu mata mengatasi Barcelona serta Atletico Madrid menjelang kunjungan ke Atletico pada saingan Copa del Rey, awal pagi Khamis ini.

Cristiano Ronaldo memberikan pendahuluan buat Real selepas menyempurnakan penalti, tetapi Ancelotti kecewa apabila bintang Portugal itu terlepas beberapa peluang menambah jaringan dengan Antonio Barragan menyamakan kedudukan sebelum Nicolas Otamendi menanduk masuk gol kemenangan Valencia ketika permainan berbaki 25 minit.

“Kami tidak sepatutnya tewas, cuma kami tidak bernasib baik kerana gagal menjadikan kedudukan 2-0, 2-1 dan kami juga berpeluang mengikat kedudukan 2-2,” kata pengendali Itali itu.

“Ada beberapa peluang yang gagal kami sempurnakan, tetapi seperti yang pernah saya katakan, dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku. Anda tidak selalu bernasib baik di depan gawang lawan.

“Saya rasa kami sudah bekerja keras dan mencipta peluang. Kami sering kelihatan berbahaya cuma gagal menjaringkan gol.

“Saya tidak fikir kekalahan ini akan menjejaskan keyakinan pasukan. Ia berlaku selepas kami menang 22 perlawanan. Musim ini masih panjang dan kami berada pada kedudukan baik di La Liga. Masih banyak pertandingan dan kami sedar sudah melakukan yang terbaik hinggalah hari ini.”

Ancelotti mengeluarkan Gareth Bale, James Rodriguez dan Karim Benzema dalam usahanya mencari gol penyamaan di babak kedua.

Begitupun, pengendali berusia 55 tahun itu menafikan beliau bimbang dengan tahap kecergasan pemainnya menjelang jadual padat bulan ini, bermula dengan perlawanan menentang Atletico serta Barca sebanyak empat kali dalam aksi Copa del Rey selain perlu berdepan Espanyol, Getafe, Cordoba dan Real Sociedad untuk aksi La Liga.

“Kami sedar jadual bulan ini sangat padat dan Valencia kuat. Kami bersedia dengan baik, tetapi kami perlu mengucapkan tahniah kepada Valencia. Kami perlu menyiapkan diri untuk perlawanan seterusnya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:24 AM