Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan. FOTO Ihsan Polis
Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan. FOTO Ihsan Polis
Rudy Syareme Sheriffudin


Balik Pulau: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan kereta di Jalan Balik Pulau/Teluk Kumbar jam 12.10 tengah hari tadi.

Mangsa, Muhammad Idris Zetri, 29, dari Jalan Kota Giam, Jelutong dikatakan datang dari arah Balik Pulau menghala ke Teluk Kumbar.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Anuar Omar berkata, mangsa dipercayai berlanggar dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati permukaan jalan basah akibat hujan dan semasa menuruni bukit, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, motosikal mangsa dikatakan dilanggar sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak cedera dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 4:25 PM