Ahmad Shahabudin bersara hari ini selepas 40 tahun berkhidmat. FOTO Sharul Hafiz Zam
Ahmad Shahabudin bersara hari ini selepas 40 tahun berkhidmat. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Selama 40 tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Ahmad Shahabuddin mula bersara wajib, hari ini.

Majlis persaraan beliau yang dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Amer Yusof, berlangsung meriah dengan dihadiri hampir 200 anggota dan pengawai kanan JBPM Kedah di Padang Kawad JBPM negeri, di sini.

Beliau turut diberi penghormatan apabila diarak dengan kereta berhias dengan tugasnya akan dipangku sementara oleh Timbalannya, Awang Hidzel Awang Bujang.

Mula berkhidmat dengan JBPM pada 1 Disember 1977 sebagai kadet bomba, deretanpengalaman penting beliau dalam operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa di dalam dan luar negara jelas menunjukkan ketokohan beliau.

Untuk rekod, Ahmad menyertai operasi ketika letupan kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buloh pada 1991 selain dalam tragedi kondominium Highland Tower pada 1993.

Selain itu, beliau pernah menyertai operasi memadam kebakaran hutan di Indonesia pada 1997 selain mempunyai kepakaran dalam Pasukan Khas Unit Khas Bahan Berbahaya (HAZMAT).

'Hero' kepada lima cahaya mata ini adalah anak jati Pulau Pinang dan turut menjalani pelbagai kursus berkaitan kebombaan di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 9:14 PM