PASUKAN bomba menjalankan operasi memadamkan kebakaran di sebuah kilang memproses makanan di Batu Caves, Gombak. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba menjalankan operasi memadamkan kebakaran di sebuah kilang memproses makanan di Batu Caves, Gombak. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Penduduk di kawasan sekitar Batu Caves di sini, panik apabila terhidu bau kurang menyenangkan susulan kebakaran sebuah kilang memproses makanan, dalam kejadian malam tadi.

Dalam kejadian 9.47 malam itu, kilang yang terletak di Jalan DBP2, Batu Caves itu terbakar 40 peratus sebelum api berjaya dipadamkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, sebanyak empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Rawang, Seri Hartamas dan Gombak Selatan dengan kekuatan 27 anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.

Menurutnya, operasi itu turut menerima bantuan daripada lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gombak serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT).

"Jentera pertama tiba 10 malam dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses makanan berkeluasan 1,000 kaki persegi.

"Usaha mengawal kebakaran segera dilakukan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya. Selepas itu pemeriksaan dilakukan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada lagi unsur merbahaya," katanya.

Beliau berkata, pasukan Hazmat yang berada di lokasi turut membuat pemeriksaan dan mengesahkan tiada unsur bahaya kepada masyarakat.

"Hanya bau daripada makanan yang terbakar bukan bahan kimia seperti ditularkan di media sosial," katanya.

Katanya, kilang berkenaan musnah 40 peratus dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.59 tengah malam, namun punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 11:40 AM