PEMAIN Leicester meraikan gol Morgan (tiga dari kiri).
PEMAIN Leicester meraikan gol Morgan (tiga dari kiri).
AFP

Leicester, England: Pengurus Leicester City, Craig Shakespeare percaya pasukannya mampu memberi kejutan besar dalam Liga Juara-Juara apabila menyingkirkan Sevilla untuk mara ke suku akhir.

Leicester yang terpaksa bekerja keras dan tewas 1-2 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir, bangkit untuk menang 2-0 pada aksi kedua awal pagi semalam sekali gus membantu mereka ke suku akhir buat julung kali.

Shakespeare yang dilantik berikutan pemecatan Claudio Ranieri berkata, kemenangan itu meletakkan mereka di tahap seperti kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu dan menegaskan lebih banyak keajaiban akan berlaku.

“Kami sedar mengenai kehadiran banyak pasukan hebat seperti pada pusingan sebelumnya,” kata Shakespeare yang mengendalikan perlawanan keempat bersama pasukan itu.

“Kami puas hati dengan persembahan yang menyaksikan Sevilla tersingkir kerana mereka mempunyai rekod baik di Eropah.

“Namun kami berada di sana disebabkan merit dan ia bukan satu kesilapan. Kami mungkin pasukan yang memberi kejutan.

“Bagaimanapun kami sedar kualiti pasukan di sana jadi keadaan menjadi semakin serius sekarang.”

Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich dan Juventus antara pasukan yang sudah mara ke suku akhir tetapi menurut Shakespeare beliau tidak tahu menahu mengenai lawan Leicester selepas ini.

Ditanya jika ada pasukan yang diharap bakal ditentang selepas ini, beliau tersenyum dan membalas: “Tidak.”

Dengan suasana di Stadium King Power bergema seperti minggu-minggu terakhir musim lalu, kapten Wes Morgan menyamakan kedudukan secara agregat apabila menampan bola masuk dengan lutut hasil sepakan percuma Riyad Mahrez pada minit ke-27 melepasi Sergio Rico.

Ia meletakkan Leicester di depan menerusi gol di tempat lawan dan mereka terus mendahului menerusi Marc Albrighton pada minit ke-54 beberapa minit selepas Sergio Escudero menyebabkan palang pasukan tuan rumah bergegar.

Sevilla kehilangan Samir Nasri selepas dilayangkan kad merah kerana cuba menanduk Jamie Vardy sebelum penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel mencuri tumpuan.

Penjaga gol Denmark itu dihukum kerana menjatuhkan Vitolo tetapi ketika Steven N’Zonzi cuba membawa perlawanan ke masa tambahan, Schmeichel melayangkan tubuh ke kiri untuk menyelamatkan sepakan penalti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 8:03 AM