CROUCH (kiri) jaring gol penyamaan buat Stoke untuk ikat Leicester. -Foto AFP
CROUCH (kiri) jaring gol penyamaan buat Stoke untuk ikat Leicester. -Foto AFP
AFP

STOKE-ON-TRENT, England: Bekas penyerang England, Peter Crouch tampil dari bangku simpanan untuk menyelamatkan satu mata buat Stoke City ketika seri 2-2 sebentar tadi, menafikan pengurus baru Leicester, Claude Puel kemenangan kedua berturut-turut.

Juara Liga Perdana Inggeris 2015-16 itu berpisah dengan Craig Shakespeare bulan lalu selepas merudum ke zon penyingkiran namun bangkit di bawah kendalian bos sementara Michael Appleton dan bekas bos Southampton, Puel.

Menentang Stoke, mereka kelihatan berbahaya dan pantas menerusi serangan balas dengan Jamie Vardy dan Riyad Mahrez menjadi ancaman utama manakala pemain sayap Demarai Gray meraih satu lagi penampilan dalam kesebelasan utama hanya beberapa hari selepas mengikat kontrak baharu di kelab itu.

Anak buah Puel mendahului pada minit ke-33 apabila Vicente Iborra meledak gol separa voli selepas bola singgah di kakinya susulan sepakan sudut dan berpeluang untuk terus mengukuhkan kedudukan.

Pertamanya, Jack Butland menyelamatkan rembatan kencang Shinji Okazaki manakala Iborra menanduk melepasi palang selepas satu lagi sepakan sudut.

Namun Leicester dihukum kerana kelalaian mereka selepas gol pembukaan itu apabila Eric Maxim Choupo-Moting merebut bola dan kemudian mengumpan kepada Xherdan Shaqiri, yang merembat dengan kaki kiri dari penjuru kanan kotak penalti lawan pada minit ke-39.

Mahrez membantu Leicester kembali di depan setengah jam sebelum tamat selepas Kasper Schmeichel melakukan tindakan penyelamat menakjubkan daripada percubaan Ryan Shawcross.

Bagaimanapun Leicester terjerat sekali lagi apabila Crouch, yang masuk tidak lama sebelum itu, menanduk masuk sepakan sudut Shaqiri pada minit ke-73.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 11:24 PM