BURUNG yang dirampas PERHILITAN Negeri Johor. FOTO Zain Ahmed
BURUNG yang dirampas PERHILITAN Negeri Johor. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Johor merampas 247 burung disyaki murai batu dalam bas ekspres di Kilometer 32.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Hentian Kulai, hari ini.

Dalam serbuan 6.10 pagi, selain bas ekspres yang membawa 13 penumpang itu, sebuah kereta turut diperiksa.

Pengarah Jabatan PERHILITAN negeri, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menjalankan serbuan ke atas kedua-dua kenderaan itu selepas dilihat mencurigakan ketika melakukan pemindahan beberapa bakul dari bahagian simpanan bagasi di bas ekspres ke dalam kereta terbabit.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai 247 burung disyaki murai batu, White-rumped Shama yang juga spesies burung yang dilindungi.

"Pemandu bas ekspres warga tempatan serta dua lelaki Indonesia yang menaiki kereta semuanya berusia 40-an kemudian ditahan bagi siasatan lanjut," katanya ketika sidang media di Pejabat PERHILITAN negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Johor Bahru dan berhenti di lokasi kejadian untuk memindahkan burung-burung terbabit ke Proton Wira itu dipercayai untuk dijual di pasaran negara Indonesia.

Katanya, semua burung yang terbabit dianggarkan bernilai RM200,000 termasuk 16 ekor yang ditemui sudah mati.

"Jika di pasaran Malaysia, burung ini berharga RM300, namun apabila dibawa ke pasaran negara jiran, ia boleh dijual sehingga RM1,500 seekor bergantung kepada kepanjangan ekor dan bunyinya," katanya.

Jamalun Nasir berkata, kedua-dua kenderaan itu kemudian disita dan dibawa ke pejabat PERHILITAN negeri untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 (2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bagi 214 burung disyaki murai batu, manakala Seksyen 61 akta sama bagi tiga burung murai batu yang tidak matang dan Seksyen 62 akta sama bagi 30 burung betina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 7:49 PM