AHMAD Faiz  di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 7 November lalu. FOTO arkib NSTP
AHMAD Faiz di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 7 November lalu. FOTO arkib NSTP
Sarah Zulkifli


Petaling Jaya : Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melepas tanpa membebaskan (DNAA) naib juara program Pencetus Ummah (PU) musim kedua, PU Faiz daripada pertuduhan mencederakan penceramah wanita, September tahun lalu.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah membuat keputusan itu selepas peguam Mohd Hezri Shaharil yang mewakili PU Faiz, atau nama sebenarnya Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli yang membuat permohonan berkenaan disebabkan laporan perubatan mangsa masih belum siap.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy memberitahu mahkamah bahawa laporan penuh perubatan daripada Jabatan Rekod Perubatan, Hospital Sungai Buloh terhadap penceramah wanita, Nurul Intan Sakinah Azmi, 29, masih belum sedia.

Pada 7 November tahun lalu, PU Faiz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Nurul Intan Sakinah disebabkan kemarahan, di pondok Rumi Sufi Jawi, No 14-3, Tingkat 2, Seksyen 8/4, Seksyen 8, Kota Damansara, pada 2.30 petang, 26 September 2016.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pada prosiding sama, mahkamah turut melepas tanpa membebaskan Nurul Intan Sakinah daripada pertuduhan menceroboh pusat tahfiz sama sehingga laporan perubatan terhadapnya lengkap.

Pada 8 November tahun lalu, Nurul Intan Sakinah yang juga ibu tunggal empat anak didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki premis milik PU Faiz yang digunakan sebagai tempat pusat pengajian agama Islam di Pondok Rumi Sufi Jawi itu pada waktu dan tarikh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 1:37 PM