MARIA
MARIA
J Sham
J Sham
AIMAN Tino
AIMAN Tino
A Rahman berduet dengan Amira menerusi lagu Bahagialah Hendaknya dan Tak Mengapa.
A Rahman berduet dengan Amira menerusi lagu Bahagialah Hendaknya dan Tak Mengapa.
Ridzuan Abdul Rahman


Dalam kalangan peminat generasi baru, irama pop yeh yeh mungkin tidak menepati cita rasa mereka yang lebih terarah kepada muzik moden.

Bagaimanapun, jangan pandang sebelah mata kerana yang lama bukan bererti lapuk dan yang baru tidak semestinya bagus kerana belum tentu mampu bergelar malar segar.

Hakikat ini terbukti pada Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, sejak Jumaat hingga kelmarin yang dipenuhi penonton setiap malam.

Irama penuh nostalgia dan mengembalikan memori pada mereka yang pernah melalui zaman itu bergema di segenap ruang di dalam Panggung Sari, sekali gus menyerlahkan kembali era kegemilangan pop yeh yeh yang pernah menjadi kegilaan ramai beberapa dekad lalu.

Nadi konsert anjuran Istana Budaya dengan kerjasama Persatuan Generasi Seni Malaysia (GenSeM) dan CTRA Production ini ditunjangi lima penyanyi popular era 1960-an iaitu Datuk A Rahman Hassan, Datuk L Ramli, Datuk Jeffrydin, J Sham dan Maria Bachok.

Tidak ketinggalan, suntikan segar ditampilkan dengan penyertaan A Rozainie yang mempunyai suara seakan-akan Allahyarham A Ramlie serta penyanyi angkatan baru, Aiman Tino dan Amira Othman sebagai daya penarik buat generasi muda.

Selain dihiburkan dengan nyanyian bertenaga, penonton tidak bosan menonton kerana penerbit konsert, Siti Rohayah Attan bijak mengambil pelawak otai, Ebby Yus sebagai pengacara.

Ideanya ini berjaya menyempurnakan lagi misinya yang mahu menampilkan kepuasan maksimum kepada peminat.

Ada saja celoteh selamba Ebby yang menggeletek hati penonton sehingga mereka ketawa tanpa henti. Dialog yang keluar daripada mulutnya sering ditunggu peminat.

Pemuzik pengiring iaitu Kugiran Agogo Istamuzika terdiri daripada pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya pula berjaya melaksanakan tugas dengan baik.

Faktor usia juga bukan satu penghalang untuk lima penyanyi terbabit menampilkan persembahan terbaik mereka.

Bahang kehangatan konsert ini mula dirasai sebaik sahaja J Sham membuka tirai dengan menyanyikan lagu Mencari Sinar Bahagia dan Suratku Untukmu.

Diikuti pula persembahan L Ramli (Ayahku Kahwin Lagi dan Dara Pujaan), A Rahman Hassan (Perpaduan Hidup dan Hanya Untukku), Maria Bachok (Alam Seni dan Harapan Baru), Aiman Tino (Peracun Kalbu dan Dendang Remaja), A Rozainie (Kenangan Mengusik Jiwa dan Fatimah Pujaanku) dan Jeffrydin (Kenanganku dan Mas Mona) bagi menutup segmen pertama.

Segmen kedua pula berbentuk tribute menampilkan Maria menyanyikan lagu Hai Selamat Datang (nyanyian asal) Rafeah Buang, A Rozainie (Jandaku-Halim Yatim), L Ramli (Pujaan Hatiku-Salim I), Artis Tari Istana Budaya (These Boots Are Made for Walkin’-Nancy Sinatra), J Sham (Oh Carol-Neil Sedaka), Jeffrydin (Am I That To Forget-Engelbert Humperdinck), A Rahman (Yesterday-The Beatles) dan Amira Othman (I Will Follow Him-Peggy March serta Syurga Idaman-Azizah Mohammad).

Ketika penyanyi rancak menyanyi di atas pentas, penonton di bawah juga tidak kurang rancak apabila turut menyanyi dan menggoyangkan badan mengikut rentak yang dialunkan.

Bahkan ada yang mungkin terlalu ghairah dan merindui lagu genre ini, tidak segan bangun daripada kerusi untuk menari dan aksi ini turut menceriakan penonton lain yang bersikap ‘sporting’.

Segmen ketiga pula semakin rancak dengan konsep duet/ battle yang menampilkan Amira dan A Rahman menerusi lagu Bahagialah Hendaknya dan Tak Mengapa serta Maria dan A Rozainie (Jasad Dan Nyawa Kalangan Budi dan Itulah Sayang).

L Ramli dan J Sham (Siapa Bilang Aku Tak Sayang dan Resam Dunia) serta Jeffrydin dan Aiman (Peristiwaku dan Ku Rela Dibenci).

Persembahan diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai menyampaikan lagu Suzanna dan ini sudah cukup meninggalkan kenangan tersendiri buat semua yang hadir menonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 11:10 AM