Keadaan Toyota Hilux yang terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 13 Jalan Lahad Datu - Sandakan. FOTO Ainul Durmahyanty Durming
Keadaan Toyota Hilux yang terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 13 Jalan Lahad Datu - Sandakan. FOTO Ainul Durmahyanty Durming
Ainul Durmahyanty Durming


Lahad Datu: Kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas kenderaan dinaiki bersama ibu bapanya terbabit kemalangan di Kilometer 13 Jalan Lahad Datu-Sandakan, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, Mohammad Zuhayr Zac Mohammad Azri maut di tempat kejadian manakala ibu bapa dan adik perempuannya berusia lapan bulan cedera ringan.

Dua lagi mangsa yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu turut cedera dan menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, Toyota Hilux dipandu bapa mangsa dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu.

"Toyota Hilux itu dipercayai cuba memotong sebuah lori namun gagal dan merempuh belakang kenderaan terbabit sehingga menyebabkan kedua-duanya terbabas.

"Akibat kejadian itu, seorang kanak-kanak yang duduk di bahagian penumpang belakang Toyota Hilux maut manakala pemandu dan empat penumpang lain cedera ringan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamzah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 3:29 PM