TAMAN Maghribi di Putrajaya.
TAMAN Maghribi di Putrajaya.
KOLAM air berpancuran biasanya dibina di bahagian tengah pada tempat berteres dan berbentuk empat segi atau geometri.
KOLAM air berpancuran biasanya dibina di bahagian tengah pada tempat berteres dan berbentuk empat segi atau geometri.
BAGAIKAN kebun kurma yang tumbuh subur.
BAGAIKAN kebun kurma yang tumbuh subur.
DALAM apa jua keadaan, elemen air dilihat satu keutamaan.
DALAM apa jua keadaan, elemen air dilihat satu keutamaan.
Hartini Mohd Nawi


Taman Islamik adalah suatu konsep taman unik yang dibina dengan susun atur elemen landskap dipengaruhi seni Islam dan budaya setempat mengikut negara serta semangat spiritual yang membawa makna kebesaran Maha Pencipta, ketenangan, nilai kehambaan dan kesederhanaan.

Taman Islamik dikatakan bermula sejak abad ke-6 ketika kebun kurma pesat berkembang di Makkah.

Kebun kurma pada zaman itu menjadi ruang teduhan, tempat rekreasi istimewa masyarakat Arab kerana elemen landskap yang semula jadi.

Pada masa sama kebun kurma ketika itu menjadi lambang kebanggaan dan kekayaan orang Arab kerana adanya komposisi pelbagai elemen landskap yang mewujudkan keindahan.

Taman Parsi

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Senibina Landskap Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yazid Mohd Yunos, istilah taman Islamik mula diperkenalkan pada era zaman taman Persia bermula pada abad ke-7.

“Taman Parsi banyak dipengaruhi kebudayaan, elemen landskap semula jadi dan teknologi pertanian di Parsi (kini Iran).

“Malah taman itu terkenal dengan konsep struktur binaan yang kukuh. Masyarakat Parsi biasanya membina tiga jenis taman Islamik iaitu taman diraja, taman perkuburan dan taman rekreasi,” katanya yang juga arkitek landskap itu.

Pada masa sama taman itu turut terkenal dengan unsur empat sungai yang mengalir dikenali sebagai ‘Chahar-Bagh.’

Sekali gus membuktikan taman Islamik di Parsi bersifat formal yang menitikberatkan elemen air.

Taman Maghribi

Sebelum taman Islamik berkembang pesat di Sepanyol, ia sebenarnya terlebih dulu berkembang di Maghribi pada abad ke- 12 dikenali dengan taman Maghribi.

“Antara taman yang dikenal pasti ialah riyadh iaitu taman untuk golongan pemerintah dan bangsawan.

“Kedua adalah dar iaitu taman di bandar yang kekurangan tanah dan ketiga, taman yang besar untuk orang umum berekreasi.

“Taman ini mementingkan konsep teduhan, tanaman boleh dimakan dan tanaman herba,” katanya.

Beliau yang juga penyelidik taman berkenaan berkata air menjadi elemen landskap utama yang direka sebagai air pancuran di tengah-tengah taman. Kebanyakannya dibina di kawasan berteres dan berbentuk empat segi serta geometri.

Taman Andalusia

Pengaruh taman Islamik mengikut arus tamadun, teknologi dan budaya sesuatu negara.

Pada abad ke-14, taman Islamik yang dibangunkan dipengaruhi oleh ciri seni bina Moorish dan berteknologi di bahagian selatan Sepanyol terkenal sebagai taman Andalusia di Istana Alhambra, Andalusia, Generalife dan Granada.

“Reka bentuk taman Islamik di Sepanyol kebanyakannya terdapat pada halaman bangunan istana dan masjid.

“Disebabkan empayar Islam di Andalusia dan Granada pesat dengan ilmu maka teknologi dibangunkan di taman Islamik Sepanyol.

“Ia termasuk pancuran air automatik pada setiap kali masuknya waktu solat pada arca singa yang mengaplikasikan teknologi kinetik dan graviti bumi,” katanya.

Taman jenis itu juga turut menggabungkan motif dan kaligrafi. Konsep spiritual atau kerohanian mula diterapkan pada taman Islamik era berkenaan.

Seni bina dan seni Islam yang diterapkan dipengaruhi daripada Moorish serta pertembungan budaya tamadun Mesir dan Mesopotamia.

Taman Mughal

Taman Islamik berkembang pada abad ke-17 di India yang dikenali dengan taman Mughal.

“Ia juga mempunyai karakter dan ciri yang dipengaruhi daripada taman Islamik Persia, reka bentuk pada kawasan berteres tinggi, harmoni dan mesra dengan kombinasi unsur alam semula jadi.

“Elemen landskap kejur juga sangat diutamakan dalam reka bantuk taman Mughal seperti pancuran air, lampu taman, pejalan kaki, aliran air dan arca.

“Penerapan unsur semangat tempat ditekankan untuk tujuan meditasi dan apresiasi alam selain mementingkan bentuk taman simetri, berteres, pokok yang membentuk ‘avenue’, tanaman pokok bunga berteres, air terjun dan pancuran air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:05 AM