TIONG Lai (tiga dari kiri) menyampaikan trofi kepada pemain Leo FC.
TIONG Lai (tiga dari kiri) menyampaikan trofi kepada pemain Leo FC.
Oleh Asrol Awang

Bentong: Kejohanan Futsal Piala Ahli Parlimen Bentong 2014 berjaya merekodkan jumlah penyertaan 1,110 peserta dari daerah Bentong berusia antara 16 hingga 40 tahun pada kejohanan kali pertama dianjurkan baru-baru ini.

Kejohanan berformat sirkit itu disertai 111 pasukan membabitkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bilut, Sabai,Pelangai dan Ketari.

Penyertaan tertinggi membabitkan DUN Pelangai dan Ketari, masing-masing menghantar 30 pasukan manakala 27 pasukan dari DUN Sabai dan 24 pasukan dari DUN Bilut.

Pada aksi final di gelanggang Futsal Arena Gemilang, Jalan Tras, pasukan Leo FC yang mewakili DUN Ketari muncul johan selepas menewaskan Kancil Motor FC dari DUN Bilut, 3-0.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM2,000, piala cenderahati dan sijil penyertaan manakala naib johan, wang tunai RM1,500, piala cenderahati dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dan keempat, diraih Boka FC dan Anak Jantan FC dengan meraih RM750, cenderahati dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan.

Tiong Lai berkata, kejohanan itu bertujuan melahirkan generasi belia Bentong yang menjadikan sukan sebagai gaya hidup sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 7:36 AM