SYAZIROL (tiga dari kiri) bergambar bersama hadiah dimenanginya
SYAZIROL (tiga dari kiri) bergambar bersama hadiah dimenanginya
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Pemain remaja Kedah Muhammad Syazirol Shamsuddin membuktikan kejaguhan apabila muncul juara kategori lelaki Bawah 16 tahun Kejohanan Tenpin Bowling Remaja 2016 di Megalanes Megamall Pinang, Prai, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gambir itu berjaya menarik 132 penyertaan dalam kalangan murid, pelajar dan penuntut universiti awam dari seluruh negara.

Syazirol berjaya melakukan 237 jatuhan pin untuk menewaskan Muhd Alfaiz Zainal Abidin dari Pulau Pinang yang melakukan 192 jatuhan pin pada pusingan akhir, sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,300, piala dan sijil penyertaan.

Alfaiz pula membawa pulang wang tunai RM700, piala dan sijil penyertaan manakala ketiga dimenangi Muhammad Haziq Ridzuan dari Kedah (RM350), piala dan sijil penyertaan.

Bagi kategori perempuan bawah 16 tahun pula, wakil Terengganu Nur Atikah Abdul Rahim muncul juara dengan 233 jatuhan pin diikuti Alyaa Addini Zulamri dari Gambirian Keglers di tempat kedua dengan 188 jatuhan pin dan Durriyah Ibrahim dari Selangor pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Nur Atikah membawa pulang wang tunai RM1,300, piala dan sijil penyertaan manakala Alyaa membawa pulang wang tunai RM700, piala dan sijil penyertaan serta Durriyah membawa pulang wang tunai RM350, piala dan sijil penyertaan.

Sementara itu, kategori lelaki Bawah 12 tahun pula dimenangi Muhammad Azim Fitri Zulamri dari SK Bukit Gambir dengan 191 jatuhan pin manakala Arief Najib Azmi dari SK Sultan Ibrahim, Sungai Petani mencatat 180 jatuhan pin.

Azim membawa pulang wang tunai RM800, piala dan sijil penyertaan manakala Arief membawa pulang wang tunai RM400, piala dan sijil penyertaan.

Kategori perempuan Bawah 12 tahun pula dimenangi Auni Mardhiah Anuar dari SK Alma Jaya dengan 221 jatuhan pin menewaskan Eileen Ong dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Lay Keow hanya berjaya mencatat 189 jatuhan pin.

Auni membawa pulang wang tunai RM700, piala dan sijil penyertaan manakala Eileen membawa pulang wang tunai RM350, piala dan sijil penyertaan.

Kategori Bawah 21 Tahun Terbuka pula dimenangi Muhd Haziq Mohd Ridzuan dari Kedah dengan 221 jatuhan pin dan membawa pulang wang tunai RM1,600, piala dan sijil penyertaan manakala Ahmad Aidil Abd Halim di tempat kedua dengan 215 jatuhan pin dan membawa pulang wang tunai RM900, piala dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan Guru Besar SK Bukit Gambir, Arifah Ariffin dan Yang Dipertua PIBG SK Bukit Gambir, Dr Syed Shaiful Ezam Syed Aman serta Naib Yang Dipertua PIBG SK Bukit Gambir, J Kaarthikayaw.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 8:03 AM