Pengarah jabatan kerajaan bersama tiga individu lain yang ditahan reman di Mahkamah Majistret Ipoh.
Pengarah jabatan kerajaan bersama tiga individu lain yang ditahan reman di Mahkamah Majistret Ipoh.
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Mahkamah Majistret Ipoh hari ini membenarkan Pengarah jabatan kerajaan direman lima hari bersama tiga individu lain bagi membantu siasatan kes rasuah.

Keempat-empat suspek yang memakai baju lokap SPRM warna jingga dibawa ke mahkamah oleh sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 10.30 pagi menaiki dua kenderaan.

Majistret Siti Hanum Mohamad Shah membenarkan mereka direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana dipercayai menerima rasuah.

Pengarah berusia 57 tahun itu ditahan bersama dua ahli perniagaan masing-masing berusia 30 tahun dan seorang mekanik berusia 26 tahun.

Mereka ditahan di beberapa lokasi sekitar Perak bermula jam 12 tengah malam hingga 5.30 pagi hari ini.

Penahanan mereka dilakukan selepas dipercayai terbabit dalam memberi dan menerima rasuah daripada pengusaha pusat hiburan dan rumah urut yang beroperasi di Perak.

Pengarah terbabit dipercayai menerima bayaran bulanan daripada pengusaha pusat hiburan membabitkan jumlah RM1,000 hingga RM10,000.

Mereka kemudian dibawa keluar dari mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Datuk Nooraziah Abdul Manaf ketika dihubungi pihak media berkata, mereka ditahan di kediaman masing-masing awal pagi hari ini.

Nooraziah bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu kerana siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 2:15 PM