KHALID (dua kiri) menunjukkan identiti Kwan-song ketika sidang media di Bukit Aman, semalam. FOTO Reuters
KHALID (dua kiri) menunjukkan identiti Kwan-song ketika sidang media di Bukit Aman, semalam. FOTO Reuters
Amir Abd Hamid dan Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Walaupun mempunyai kekebalan diplomatik namun Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang-song, 44, tetap diminta tampil untuk membantu siasatan pembunuhan Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya masih memberi masa kepada Kwang-song untuk tampil sendiri.

Sementara itu, katanya, polis akan mengeluarkan waran tangkap terhadap pekerja syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il, 37, dalam masa terdekat.

"Dia (Kwang-song) mempunyai kekebalan diplomatik tetapi kita akan membuat siasatan mengikut protokol undang-undang antarabangsa.

"Manakala pekerja syarikat penerbangan itu (Uk-il) pula tidak mempunyai kekebalan diplomatik dan kami akan mengeluarkan waran tangkap jika dia gagal memberikan kerjasama," katanya.

Malaysia turut memohon empat lagi warga Korea Utara yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Kim Jong-nam dan meninggalkan negara disenaraihitamkan pasukan Polis Antarabangsa (INTERPOL), katanya.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 13 Februari lalu, Jong-nam yang juga abang Peimimpin Korea Utara, Kim Jong-un maut selepas dikatakan disembur dan ditekup dengan kain mengandungi cecair racun di klia2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 2:10 PM