MEDIA antarabangsa dan tempatan tetap menunggu di hadapan IPFN Hospital Kuala Lumpur berikutan kematian Kim Jong-nam.
MEDIA antarabangsa dan tempatan tetap menunggu di hadapan IPFN Hospital Kuala Lumpur berikutan kematian Kim Jong-nam.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat memasuki Kedutaan Korea Utara, di sini, untuk menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Ini sebagai menghormati Konvensyen Vienna iaitu pekarangan kedutaan dilindungi kekebalan diplomatik dan tidak boleh diceroboh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya percaya dua warga Korea Utara iaitu Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara, Hyon Kwang-song, 44, dan kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il, 37, masih berada di dalam premis berkenaan.

“PDRM harus menghormati Konvensyen Vienna. Manakala Kwang-song mempunyai imuniti (kekebalan) diplomat,” katanya.

Mengikut Konvensyen Vienna mengenai Perhubungan Diplomatik 1961, kakitangan diplomatik tidak boleh ditahan atau disimpan di pusat tahanan, namun negara asal boleh membatalkan imuniti berkenaan.

Sebelum ini Khalid dilaporkan berkata, polis percaya tiga suspek warga Korea Utara yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Jong-nam masih bersembunyi di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Sementara itu, semalam genap sebulan kejadian pembunuhan Jong-nam dan sepanjang tempoh itu juga wartawan asing serta tempatan berkampung di beberapa lokasi seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Tinjauan Harian Metro di HKL mendapati petugas media tidak jemu menunggu di lokasi walaupun ada antara mereka yang mula tertekan terutama petugas dari luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 5:17 AM