Kalidevi Mogan Kumarappa dan Suraya Roslan dan Mohd Hanafis Abdul Haris

 

Kuala Lumpur: Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol mencadangkan siasatan berhubung punca kematian Kim Jong-nam dilakukan dengan kerjasama pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Kang Chol, ia bertujuan  mendapat keputusan yang lebih menyeluruh berhubung bedah siasat berkenaan.

Menurutnya, sekiranya Malaysia bersetuju dengan cadangan itu, pihaknya akan menghantar delegasi peguam bagi membantu siasatan.

"Tindakan Malaysia untuk membuat bedah siasat kedua adalah bertentangan dengan hak asasi manusia selain bertujuan meletakkan tuduhan ke atas Korea Utara.

"Malah tindakan polis Malaysia menahan seorang rakyat Korea Utara di Kuala Lumpur tanpa waran tangkap selain mendakwa lelaki itu dalang utama bertentangan dengan hak asasi manusia," katanya pada sidang media di Pejabat Kedutaan Korea Utara, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Kang Chol dipanggil ke Wisma Putra untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tuduhan republik itu terhadap Malaysia dalam sidang akhbar Jumaat lalu.

Pada sidang media itu, Kang Chol memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai 'sesuatu untuk disembunyikan' dan mendakwa Malaysia 'berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar' dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Februari 2017.

Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un diserang dua wanita di aras tiga pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Setakat ini, empat suspek termasuk dua wanita sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 4:28 PM
 Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol mengadakan sidang media di luar Kedutaan Korea Utara berikutan kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. FOTO AIZUDDIN SAAD
Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol mengadakan sidang media di luar Kedutaan Korea Utara berikutan kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. FOTO AIZUDDIN SAAD