PEMANDANGAN luar KPH ketika malam dikelilingi kemeriahan pusat bandar Tokyo.
PEMANDANGAN luar KPH ketika malam dikelilingi kemeriahan pusat bandar Tokyo.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Anda yang melancong ke Jepun mungkin memerlukan tempoh percutian lebih panjang bagi menghayati sepenuhnya budaya masyarakat negara matahari terbit itu.

Namun dengan penginapan di Keio Plaza Hotel Tokyo (KPH), pastinya anda dapat mencatatkan memori terindah kerana berpeluang mendalami keunikan budaya itu hanya di bawah satu bumbung.

Menerima kunjungan 140 juta tetamu sejak pembukaannya, KPH yang terletak di bandar Shinjuku, Tokyo ini antara hotel antarabangsa paling berprestij di Jepun.

Dibangunkan berhampiran Stesen Tochomae dan jarak perjalanan hanya beberapa minit dari Stesen Shinjuku, KPH dilihat antara lokasi percutian strategik untuk pelancong asing mendapatkan hiburan selain membeli-belah di pusat bandar paling popular itu.

Jika tiada jadual perjalanan muktamad, anda boleh mendapatkan khidmat ditawarkan KPH pada harga berpatutan.

Malah, pelancong yang menginap di KPH turut berpeluang menikmati pemandangan bandar Tokyo dengan siri lawatan khas menaiki kenderaan mewah iaitu limosin.

Bermula serendah kira-kira RM195, tetamu akan dibawa ke kilang pembuatan makanan terkenal di sekitar Tokyo selain Muzium Kushi Kanzashi (kilang pembuatan sikat rambut tradisional yang dipenuhi hiasan) bagi melihat dengan lebih dekat cara penghasilan produknya.

Di muzium sikat itu pengunjung bukan saja dapat menyaksikan barisan sikat berwarna-warni, bahkan pelbagai corak sepit rambut dan variasi alat kosmetik tradisional pernah digunakan masyarakat tempatan antara zaman Edo hingga Showa bermula pada 1603 hingga 1989.

Jika anda tidak mempunyai bajet yang besar untuk bersiar-siar menaiki limosin, terdapat banyak lagi pakej ditawarkan KPH termasuk 50 pilihan lawatan bas berbeza-beza, lawatan dengan menaiki teksi dan bas ulang-alik percuma ke Disneyland.

Penat meluangkan masa di tengah kesejukan kota Tokyo, pelancong boleh memanaskan badan dengan menikmati secawan teh melalui program yang diadakan selama 30 minit untuk memberi pengalaman minum teh Jepun secara tradisional mengikut adat resam mereka.

Berlatarkan suasana bilik seakan-akan perkampungan asli Jepun, ia pastinya menimbulkan perasaan teruja kepada setiap tetamu.

Selepas seharian menghirup udara segar, anda boleh memilih untuk merehatkan diri di antara 1,437 bilik yang menanti tetamunya merangkumi pelbagai jenis bilik kelas mewah hingga bilik biasa.

Malah kita juga sedia maklum, Jepun turut dikenali dengan segmen animasinya. Justeru, KPH tidak ketinggalan untuk mewakili negaranya itu dengan menawarkan bilik tetamu dalam rekaan kartun Hello Kitty.

Bagi yang gemarkan Hello Kitty, pastinya anda tidak mahu melepaskan peluang ini lebih-lebih lagi semua bilik dengan tema Kota Kitty dan Permaisuri Kitty ini dihias kemas serta rapi dalam aura merah jambu.

Sebelum pulang ke tanah air, pelancong disarankan untuk mengenakan sepasang set pakaian perkahwinan tradisional Jepun iaitu kimono.

Menurut jurucakap KPH, perkhidmatan ini diadakan khusus untuk memenuhi permintaan pengunjung yang ingin merasai sendiri keunikan seni dan budaya masyarakat tempatan.

Anda yang tidak berkesempatan membeli cenderahati boleh berkunjung ke pusat beli-belah KPH yang terletak di aras lobi hotel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 10:13 AM