DAUS yang berduet dengan Ernie sebagai naib juara.
DAUS yang berduet dengan Ernie sebagai naib juara.
Georgie Joseph


USAHA keras berbekalkan bakat besar protege Apex Tadjudin pada final Mentor Milenia 2019 sememangnya terbukti berbaloi menerusi persembahan pada saat penentu juara malam kelmarin. Pemuda berasal dari Terengganu itu selayaknya dinobatkan pemenang.

Apex atau nama sebenarnya Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tadjudin, 23, menepati ramalan ramai memandangkan prestasinya sentiasa konsisten. Elemen drama yang cuba dikaitkan dengannya juga tidak menenggelamkan bakatnya.

Mendapat pula bimbingan daripada mentor berkaliber, Hazama, melengkapkannya untuk memberikan persembahan berkualiti. Komitmennya antara yang terbaik daripada empat finalis bertanding.

Hal itu nyatakan Hazama sendiri yang mengakui Apex sebenarnya sudah siap sedia untuk menjadi artis daripada pelbagai aspek.

Oleh itu, dia sangat percaya protegenya memang layak menang.

“Satu yang saya tabik kepada Apex adalah dia sangat komited untuk melakukan persembahan terbaik setiap minggu. Apa saja input yang saya berikan, dia serap dengan bersungguh-sungguh dan suntik dalam persembahannya.

“Terus terang, daripada aspek nyanyian, dia sendiri sudah menjadi artis dan bakatnya bermutu. Dengan pengurusan yang baik, dia boleh pergi jauh dalam industri muzik dan menjadi penghibur disegani,” katanya.

BARISAN juri: Faizal, Syafinaz dan Altimet.
BARISAN juri: Faizal, Syafinaz dan Altimet.

Hazama juga berharap keperibadian Apex yang rendah diri dan tekun sentiasa berkekalan jika dia mahu berjaya.

Baginya, kejayaan sebenar seorang artis adalah apabila dapat mengekalkan jati diri yang menyenangkan.

“Selepas ini, saya berharap dia akan mendapat pengurusan yang betul-betul menjaga dan tidak mempersiakan bakatnya. Platform ini sudah cukup besar untuk memulakan sesuatu yang cerah buat Apex.

“Disebabkan itu, saya sentiasa menasihatkannya supaya kekalkan sifat terpuji apabila memasuki alam sebenar dunia hiburan.

“Alhamdulillah, dia memang sangat menurut kata selain memiliki keazaman tinggi mengubah nasib,” katanya.

Berkongsi mengenai kemenangan itu, Apex juga mengakui dia sudah bersedia menempuh asam garam bergelar artis. Dalam pada itu, dia tetap akan berpegang kuat kepada nasihat dan tunjuk ajar daripada mentornya itu.

“Hazama tidak putus mengingatkan saya supaya tidak lupa diri, sentiasa utamakan keluarga dan tak berhenti bekerja keras. Saya akan ingat nasihatnya itu sampai bila-bila.

“Mengenangkan nasib sebelum ini, saya berharap akan dapat melakar nama dan menjadi penyanyi yang bagus. Itulah janji saya sekiranya nasib menyebelahi untuk karier berkembang selepas ini,” katanya.

Paling penting, Apex juga berazam kuat untuk mengubah nasib keluarga terutama buat isteri dan anaknya dengan kemenangan itu.

APEX menjulang trofi kejuaraan.
APEX menjulang trofi kejuaraan.

“Saya benar-benar berharap kejayaan ini bakal mengubah nasib keluarga kepada lebih baik. Apalagi saya cuma seorang penyanyi jalanan dan isteri peniaga nasi lemak kecil-kecilan.

“Pertamanya, saya akan mencari rumah sendiri memandangkan sekarang masih tinggal bersama mentua.

“Saya juga mahu membuka kedai untuk isteri mengembangkan jualan nasi lemak yang sekarang cuma dijalankan di gerai depan rumah,” katanya.

Apex melakar kejayaan manis apabila muncul juara Mentor Milenia 2019 yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Ahad lalu.

Dia yang juga protege kepada mentor, Hazama, meraih RM100,000 tunai berserta trofi dan dua motosikal Benelli RFS 150i.

Selain itu, dia juga dihadiahkan lagu pertamanya ciptaan Faizal Tahir berserta video muzik dan dijadikan lagu tema drama di TV3, waktu promosi televisyen dan radio bernilai RM500,000 serta dokumentari pendek kisah sepanjang di Mentor Milenia untuk siaran di saluran YouTube TV3.

Apex menewaskan tiga protege lain iaitu Daus Husny selaku naib juara, Aedy Kama (ketiga) dan Rika Riana (keempat).

Pemarkahan protege pada musim ini ditentukan dengan 60 peratus persembahan daripada pihak juri dan 40 peratus undian awam. Undian dibuat menerusi laman sesawang www.xtra.com.my/mentormilenia.

Mentor Milenia 2019 dibawa khas oleh penaja utama KFC, Sedap Hingga Menjilat Jari dan penaja bersama, OPPO A9 2020.

Pentas final membariskan juri profesional terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Altimet dan Faizal Tahir serta dihoskan Shuk Sahar, Elly Mazlein dan Zetty HotFM.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Faizal Tahir dengan lagu Ragaman.

Selain itu, Top 10 protege musim ini turut menyanyi medley lagu Rampas (nyanyian asal Akim & The Majistret) dan Sumpah (nyanyian asal Naim Daniel) dalam irama pop yeh yeh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 5:20 AM