BERNAMA

Kuala Lumpur: Tan Sri Annuar Musa tidak dipanggil memberi penjelasan pada mesyuarat khas Majlis Mara hari ini, kerana anggota mesyuarat berpendapat wajar beliau memberi penjelasan kepada jawatankuasa audit dalaman Mara nanti.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan penggantungan sementara jawatan Annuar sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) dibuat berdasarkan beliau disiasat jawatankuasa audit berkenaan.

"Tan Sri Annuar Musa tidak dijemput hadir kerana mesyuarat itu berkaitan dengan beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ismail Sabri, penggantungan Annuar adalah sementara menunggu siasatan jawatankuasa audit dalaman itu selesai.

Keputusan sebulat suara berhubung penggantungan tugas Annuar itu dicapai pada mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Ahli Majlis Mara Datuk Dr Yusof Yacob di ibu negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga membuka kertas siasatan terhadap Annuar, tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa berkaitan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Menurut SPRM, siasatan dakwaan salah tadbir urus akan dijalankan pasukan audit dalaman Mara.

Ismail Sabri berkata: "Saya menghormati keputusan mesyuarat itu yang ingin menyelesaikan isu Mara dan anak syarikat mereka secara tuntas.

"Bagaimanapun, saya minta siasatan dalaman ini diselesaikan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada Mara."

Menteri itu berkata beliau dimaklumkan penasihat undang-undang Mara bahawa Majlis Mara berkuasa penuh membuat keputusan berkaitan menggantung tugas sementara menunggu siasatan juruaudit dalaman selesai.

“Ini kerana ia tidak membabitkan pelantikan atau pemberhentian yang memerlukan kuasa menteri dengan persetujuan perdana menteri," katanya.

Ismail Sabri berkata beliau dimaklumkan bahawa mesyuarat Majlis Mara hari ini turut dihadiri wakil Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Yusof dalam sidang akhbar sebelum itu berkata penggantungan Annuar dibuat bagi membolehkan audit dalaman Mara menyiasat beberapa perkara mengenai agensi itu termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur bagi pasukan bola sepak Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 11:02 PM