Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menerusi kenyataan SPRM, suruhanjaya itu akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menyiasat beberapa isu membabitkan rasuah dan salah guna kuasa beliau.

"Ingin ditegaskan, siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa pembabitan beliau dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

"Siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman MARA," katanya hari ini.

Dalam pada itu, SPRM meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes itu dan memberikan ruang kepada suruhanjaya bagi menjalankan siasatan.

MARA hari ini memutuskan menggantung tugas Annuar sebagai Pengerusi berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar di ibu pejabat MARA yang dipengerusikan Datuk Dr Yusof Yacob dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.

Selain itu, jawatan Annuar sebagai Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) juga digantung berkuat kuasa tarikh sama.

Berikutan itu, semua tugas Annuar di agensi berkenaan akan dipangku oleh Yusof.

Keputusan berkenaan dibuat menerusi mesyuarat tergempar diadakan susulan isu penajaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta PMB kepada pasukan bola sepak Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 6:39 PM