PEMAIN UKM mempamerkan trofi kejuaraan.
PEMAIN UKM mempamerkan trofi kejuaraan.

Kuala Lumpur: Wakil Malaysia pada Kejohanan Kriket Jemputan Universiti Antarabangsa ke 7, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah apabila menjuarai kejohanan untuk kali ketiga berturut-turut, baru-baru ini.

UKM tampil tangkas menewaskan wakil India, Christ University pada perlawanan akhir di Bayuemas Oval Kelang.

Memenangi undian dan memilih untuk menjadi pemukul, Chirst University berjaya mengumpul 103 larian dalam 39.3 over.

Manakala UKM yang dikemudi kapten skuad negara Ahmad Faiz Mohammad Noor cukup yakin apabila turun pada inning kedua untuk melepasi catatan larian 103 pada over ke-20 dengan kelebihan 4 wiket.

Selaku juara UKM membawa pulang wang tunai AS$3,000 (RM10,47) dan piala manakala Christ University berpuas hati dengan AS$2,000 (RM6,980). Tempat ketiga dimenangi wakil Pakistan, Sir Syed University of Engineering & Technology.

Selain Malaysia dan India, kejohanan kali ini turut disertai wakil Pakistan, Indonesia, Sri Lanka dan Bangladesh.

Kejohanan ini anjuran UKM dan Pusat Kecemerlangan Kriket IPT dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Kriket Melayu Malaysia menawarkan hadiah kemenangan keseluruhan berjumlah RM36,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 4:58 AM