Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Tiga beranak yang cedera dalam kemalangan mengorbankan lima yang lain di Kilometer 16 Jalan Ipoh-Lumut, Batu Gajah, dekat sini semalam, dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya hari ini.

Tiga beranak yang terselamat dalam kemalangan itu ialah pemandu Mercedes Benz, Radzlan Mohamed, 50, dan dua anaknya, Anisa Ridzuana, 19, dan Azra Rhea, 13, manakala isteri Radzlan, Anita Zuriana Abu Zarim, 46, maut di lokasi kejadian.

Radzlan ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berkata, dia bersama dua anaknya akan dipindahkan ke hospital swasta petang ini dengan menaiki ambulans.

Katanya, proses pemindahan sedang diuruskan kakak sulung dan adik bongsunya bagi membolehkan mereka sekeluarga mendapat rawatan di Subang Jaya sekali gus memudahkan ahli keluarga melawat.

Menurutnya, dia tidak sedar selepas kemalangan itu berikutan kejadian berlaku terlalu pantas.

"Saya hanya ingat diangkat menaiki ambulans dan mengetahui mengenai keadaan isteri ketika berada di wad kecemasan (HRPB)," katanya.

Radzlan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu kerana masih trauma dan kepalanya cedera akibat kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 6:25 PM