Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Tampin: Penemuan peluru dalam laci meja di Pejabat Daerah Tampin, di sini, menimbulkan tanda tanya ia kepunyaan siapa.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata peluru bertulisan Ranger 3 1/2-32-4 ditemui kerani ketika sedang berkemas.

Katanya, peluru terbabit terselit di celahan kertas dalam laci meja yang tidak digunakan sejak tiga tahun lalu.

"Sehubungan itu, kerani itu memaklumkan Penghulu Daerah Tampin. Hasil perbincangan bersama Pegawai Daerah Tampin, laporan dibuat di Balai Polis Tampin, di sini, semalam," katanya.

Beliau berkata, penghulu memaklumkan meja terletak bersebelahan kaunter pertanyaan di tingkat dua itu sudah tiga tahun tidak digunakan.

"Meja itu hanya sesekali digunakan kakitangan untuk mengaji al-Quran atau penuntut praktikal," katanya.

Hamazah berkata, di pejabat itu hanya kakitangan saja dibenarkan masuk dan kini timbul persoalan peluru milik siapa.

"Penghulu juga memberitahu di pejabatnya, tiada sesiapa menggunakan senjata,"katanya.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan peluru berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 1:51 PM