ZIANA ZAIN
ZIANA ZAIN
Syafil Syazwan Jefri


Golongan selebriti selalunya dianggap mudah membabitkan diri dalam perniagaan memandangkan mereka dikenali dan punya ramai peminat.

Namun, ia tidak mudah buat penyanyi popular Ziana Zain, 49, yang kini turut bergelar usahawan.

Walaupun dikenali, tetapi tanpa usaha, perniagaan itu tidak akan berkembang.

“Mungkin ramai yang menganggap, artis dan selebriti lebih senang berniaga kerana nama yang sudah dikenali. Bagi saya, perniagaan tak boleh bersandarkan kepada nama semata-mata, tetapi juga usaha.

“Kalau sekadar membuka perniagaan, tapi tak berusaha mempromosikannya, tak guna juga. Jadi, dari situ sejak beberapa bulan lalu saya giat mempromosikan produk di Instagram dan menyertai karnival dengan membuka gerai jualan,” katanya .

Menurut pemilik produk tudung jenama Ziana Zain’s World ini, dia sendiri melalui semua prosedur dari awal sehinggalah tudung itu dipasarkan kepada pelanggan.

“Kalau tengok dengan mata kasar, mungkin kita anggap prosedurnya mudah, tapi sebenarnya perlu bermula dengan perbincangan bersama kumpulan saya yang terbabit, mencari tempat untuk promosi, buka gerai, cari kain dan memilih material sendiri, cari tukang jahit, melakukan pengiraan kos dan banyak lagi.

“Dari situ, saya dapat menjaga kualiti produk yang dikeluarkan, sekali gus memuaskan hati pelanggan,” katanya.

Menurut Ziana, kadang-kadang ada beberapa produk yang terlepas pandang dan mendapat aduan daripada pelanggan.

“Sebagai manusia, tentunya kita akan terlepas pandang dalam satu atau dua produk yang tidak sempurna. Dari situ, ada beberapa aduan yang kami terima daripada pelanggan berkaitan jahitan dan sebagainya.

“Menerusi aduan itu, kami akan menggantikannya dengan produk baru. Ini penting untuk menjaga kualiti dan kepuasan pelanggan,” katanya.

Ditanya sama ada dia penat menjalankan perniagaan yang dimulakan sejak September tahun lalu itu, Ziana mengakui dalam penat itu ada seronoknya.

“Mana tidaknya. Sebelum ini, saya cuma melihat rakan artis lain bekerja keras berniaga. Kini giliran saya pula. Lagipun, ini adalah peluang dan rezeki yang diberikan Tuhan. Rasanya, rugi kalau saya tidak ambil peluang yang ada,” katanya.

Mahu aktif berlakon

Ziana juga menafikan kesibukannya sebagai ahli perniagaan bakal memperlahankan kerjaya seninya.

“Tak mungkin saya akan memperlahankan kerjaya seni kerana ia sudah menjadi darah daging dan kehidupan,” katanya.

Selain itu, Ziana juga mahu kembali beraksi di hadapan kamera sebagai pelakon.

Kali terakhir dia berlakon adalah dalam telefilem Mati Tunggu Sekejap arahan Rashid Sibir.

“Telefilem itu ditayangkan tahun lalu. Tentunya saya rindu untuk kembali berlakon, tetapi mungkin lebih kepada telefilem dan filem sekiranya ada tawaran.

“Kalau untuk drama bersiri, komitmennya sangat besar dan makan masa yang lama. Apa pun, saya perlu memastikan anak saya mampu berdikari sebelum kembali sibuk berlakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 10:02 AM